Gueye sedia pulang semula pingat juara Afcon

Gueye sedia pulang semula pingat juara Afcon

Paris: Pemain tengah, Idrissa Gueye berkata, Senegal layak bergelar juara Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), namun dia bersedia untuk ‘memulangkan semula pingat’ kepada Maghribi jika ia dapat meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

Senegal menewaskan Maghribi 1-0 selepas masa tambahan pada final Januari lalu di Rabat, namun CAF menghukum mereka minggu lalu susulan tindakan keluar padang selama 15 minit ketika perlawanan, sekali gus membatalkan keputusan itu dan menghadiahkan kemenangan 3-0 serta kejuaraan kepada tuan rumah, Maghribi.

“Saya secara peribadi komited untuk mengumpulkan pingat itu dan mungkin memberikannya semula kepada Maghribi jika ia dapat meredakan ketegangan antara dua negara,” kata Gueye kepada Canal+ selepas pasukannya, Everton menewaskan Chelsea 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Ia memang tidak masuk akal… perlawanan bola sepak dimenangi di atas padang, dan itulah yang kami lakukan di Maghribi.

“Kami melakukan apa yang perlu di atas padang, kami memenangi perlawanan itu.

“Kami layak menjadi juara Afrika. Bagi kami, kamilah juara Afrika. Kejuaraan dimenangi di atas padang, bukan di pejabat,” katanya lagi.

Gueye, yang mengetuai Senegal dalam final AFCON menggantikan Kalidou Koulibaly yang digantung, bagaimanapun tidak bersetuju dengan keputusan persekutuan bola sepak negaranya untuk merayu keputusan CAF di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Jika ikut saya, saya akan beritahu persekutuan supaya tidak membuat rayuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top