Guna dron intip pasukan lawan berlatih, jurulatih Kanada diberhentikan

Guna dron intip pasukan lawan berlatih, jurulatih Kanada diberhentikan

Ottawa: Jurulatih pasukan kebangsaan wanita Kanada, Bev Priestman, dan dua pembantunya yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) berikutan skandal dron di Sukan Olimpik Paris tidak akan kembali menyambung tugas.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Persatuan Bolasepak Kanada pagi tadi.

Sebuah laporan yang dikeluarkan badan induk itu mendedahkan hasil siasatan mengenai penggunaan dron untuk merakam latihan pasukan New Zealand secara haram di Sukan Olimpik Paris.

Laporan itu mendapati bahawa Bev dan pembantu jurulatih, Jasmine Mander ‘mengarah, meluluskan dan menyokong tindakan’ seorang lagi pembantu jurulatih, Joey Lombardi yang menerbangkan dron ke atas latihan tertutup pasukan New Zealand menjelang perlawanan pertama Kanada, yang berakhir dengan kemenangan 2-1 ke atas New Zealand.

Ketiga-tiga jurulatih Kanada itu dihantar pulang dan digantung selama setahun oleh Fifa, dan kenyataan daripada Persatuan Bolasepak Kanada menyatakan bahawa ketiga-tiga mereka secara efektif diberhentikan.

“Tiga individu yang kini digantung oleh Fifa tidak akan kembali,” kata Persatuan Bolasepak Kanada.

“Pencarian jurulatih utama baru untuk pasukan kebangsaan wanita akan dimulakan tidak lama lagi.”

Rakaman dron tidak ditonton oleh pemain-pemain dalam skuad wanita Kanada, menurut laporan siasatan bebas yang dijalankan oleh Sonia Regenbogen, seorang peguam dari Toronto.

Siasatan itu juga mendapati tiada bukti yang menunjukkan sebarang pemantauan dilakukan di Sukan Olimpik Tokyo 2021, di mana pasukan wanita Kanada meraih pingat emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top