Guna imej Islamik, tipu pelaburan pra-IPO lebih RM3 juta

Guna imej Islamik, tipu pelaburan pra-IPO lebih RM3 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Guna imej Islamik dan menggunakan ustaz berpangkat ‘Datuk’ sebagai promoter sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM3 juta menerusi pelaburan pra-Tawaran Awam Permulaan (pra-IPO).

Pemandu e-hailing, Azman, 38, berkata, dia kerugian RM30,000 selepas menyertai pelaburan itu pada 2022 dengan harapan mendapat pulangan berganda sekiranya syarikat berkenaan tersenarai di Bursa Malaysia.

Menurutnya, dia tertarik dengan penawaran itu selepas melihat iklan di media sosial menggunakan nama tokoh-tokoh agama, hartanah dan syariah.

“Saya mengenali tokoh ini di media sosial, sejak beliau menjual tanah dan saya terpegun dengan imej keislaman yang ditonjolkan, itu yang membuatkan saya yakin.

“Kami dijanjikan dividen 20 peratus setiap tahun tetapi hanya menerima bayaran RM500 sebanyak dua kali malah mereka janji untuk bayar selepas berbincang dengan pihak MHO, tetapi mungkir janji.

“Janji pertama sebelum raya kononnya hendak bayar RM2,000, tetapi hanya RM500 sahaja dibayar,” katanya pada sidang media di hadapan pekarangan Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, hari ini.

Mengaku terpedaya dengan helah sama, pesara swasta, Azhar, 54, berkata dia menghabiskan sejumlah besar dana dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM60,000 dalam pelaburan itu.

Katanya, mereka dijanjikan pulangan sehingga 500 peratus bagi modal yang dilaburkan selepas syarikat terbabit disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Saya melabur RM60,000, sebab terpengaruh dengan imej syariah, tokoh agama dan janji pulangan tinggi – ada yang disebut 100 peratus, 500 peratus, hingga 1,000 peratus kononnya hasil jualan tanah yang dipecah lot.

“Syarikat janjikan dividen 5 peratus tapi hanya bayar 2.5 peratus dan selepas itu terus tidak bayar. Bila saya mengadu mereka kata akan bayar, tetapi jumlah kecil pun, RM1,250, tidak dibayar.

“Saya minta pembatalan, tetapi selepas itu terus hilang tanpa dapat dihubungi,” katanya yang hadir ke sidang media berkenaan dengan hanya menaiki bas ekspres dari Terengganu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dari segi undang-undang tidak wujud terma ‘pra-IPO’.

Katanya, hal itu kerana bagi menawarkan IPO awam, sesebuah syarikat itu perlu terlebih dahulu tersenarai di Bursa Malaysia dan hanya syarikat berkenaan boleh membuat penawaran prospektus.

“Kami mengesyaki bahawa saham atau syarikat ini tidak berdaftar dengan mana-mana agensi pengawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) mahupun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kes hari ini berkaitan dengan syarikat yang tidak berdaftar dengan Bursa Malaysia, bermaksud syarikat ini adalah syarikat berhad yang tidak tersenarai (di Bursa Malaysia).

“Bermakna syarikat yang tidak tersenarai tetapi menggunakan imej agama Islam serta penasihat-penasihat syariah untuk menarik pelabur,” katanya.

Menurutnya, tindakan menggunakan imej Islamik menyebabkan pelabur mudah percaya, lebih-lebih lagi apabila ikon yang digunakan agak terkenal di media sosial dan aktif dalam perniagaan hartanah.

Katanya, untuk membuat tawaran awam, sesebuah syarikat perlu mendapatkan kelulusan menerbitkan prospektus daripada pihak SC.

Menurutnya, berdasarkan semakan pihaknya meragui status syarikat terbabit sama ada mempunyai kelulusan membuat penawaran IPO terutama jika jumlah pelabur melebihi 50 orang.

“Hari ini, kami membawa 66 aduan daripada 66 pengadu kepada BNM selaku agensi kawal selia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA 2013).

“Kami gesa BNM menyiasat kemungkinan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 137(1) – iaitu pengambilan deposit secara haram,” katanya.

Hishamuddin berkata, syarikat terbabit dipercayai tidak berdaftar mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pelaburan seperti Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA) 2007.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top