bhnews@bh.com.my
ALOR SETAR: Tindakan seorang lelaki mengalihkan penghadang jalan konkrit di Jalan Bukit Tinggi-Bukit Pinang di sempadan daerah ini menggunakan jengkaut yang dipandunya mengundang padah apabila ditahan polis, hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 40-an yang menetap di daerah ini ditahan polis berdasarkan maklumat yang diterima.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata penutupan jalan itu dilakukan untuk menghalang pergerakan kenderaan keluar atau masuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi kawasan daerah Kota Setar yang bermula semalam hingga 1 Jun ini.
Menurutnya, ketika pasukan pemantau COVID-19 melakukan pemantauan di kawasan itu pada 10.30 pagi didapati penghadang konkrit sudah dialihkan.
“Berikutan itu, hasil maklumat yang diperoleh berjaya menahan lelaki berkenaan di sebuah rumah di Jalan Pinang Jaya, Kepala Batas pada 2 petang ketika dia sedang bekerja di lokasi pembinaan rumah.
“Hasil semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah,” katanya pada sidang media di sekatan jalan raya (SJR) Kepala Batas, hari ini.
Mohd Redzuan berkata, lelaki itu mengaku melakukannya selepas mendapati jalan di situ ditutup dan mengalihkan penghadang jalan berkenaan untuk memudahkan dia ke tempat pembinaan rumah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan jahat yang mungkin menyebabkan merebak jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya pada nyawa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




