Guna khidmat trak tunda ubah kereta ke kawasan tinggi

Guna khidmat trak tunda ubah kereta ke kawasan tinggi

am@hmetro.com.my

Tanah Merah: Sebanyak 15 kenderaan termasuk dua van dari Kampung Pondok Baru Padang Siam, di bawa keluar menggunakan trak tunda selepas terkandas banjir.

Penduduk mendakwa, air naik mendadak tengahari semalam sehingga mencecah 0.4 meter yang menyebabkan penduduk gagal mengeluarkan kenderaan masing-masing ke tempat lebih tinggi.

Proses mengeluarkan 15 kenderaan terbabit mengambil masa lapan jam dengan kos yang dikenakan antara RM100 hingga RM400 bagi sebuah kenderaan.

Penduduk, Hasnira Mohd Yusuff, 49, berkata dia sendiri menggunakan khidmat trak tunda bagi menyelamatkan dua buah kereta miliknya.

“Awalnya kami sudah jangka hujan lebat namun mengikut maklumat penduduk sekitar, kawasan ini adalah tempat tinggi dan jarang banjir menyebabkan kami tidak memindahkan kenderaan lebih awal.

“Namun sebaliknya berlaku apabila air naik mendadak sehingga kenderaan gagal dikeluarkan. Kami penduduk sepakat menggunakan khidmat trak tunda.

“Berhabis juga RM800 memandangkan sebuah kereta dikenakan kos RM400,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang baru tinggal di kampung berkenaan dua tahun lalu berkata, ini pengalaman pertamanya berdepan banjir.

“Kesemua penduduk di sini sudah berpindah ke PPS atau rumah saudara mara sejak semalam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top