mdroji@bh.com.my
KUCHING : Istilah ‘Premier’ yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi menggantikan nama jawatan Ketua Menteri hanya akan digunakan secara rasmi selepas ia diwartakan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pewartaan itu akan dilakukan selepas ia dibawa kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud untuk persetujuan.
Menurutnya, tiada had masa untuk pewartaan itu, namun beliau yakin ia dapat dilakukan dalam masa terdekat.
“Pewartaan itu boleh dilakukan dalam tempoh tiga hari, seminggu, tiga minggu, sebulan, tiga bulan malah enam bulan.
“Tetapi, seelok-eloknya ia dilakukan segera bagi mengelak timbul pelbagai spekulasi liar berhubung penggunaan istilah ‘Premier’ itu,” katanya.
Abdul Karim berkata, selepas ia diluluskan DUN Sarawak semalam, orang ramai dilihat sudah menggunakan istilah ‘Premier’ terhadap Tan Sri Abang Johari Abang Openg terutama di media sosial.
“Pada masa sama, masih ramai yang mempertikaikan istilah itu dengan pelbagai spekulasi, sebab itu saya berpendapat ia harus diwartakan segera bagi mengelak lebih banyak spekulasi timbul.
“Ada yang mempersoalkan kewajaran Sarawak menggunakan istilah itu sehingga ada yang kata akan wujud dua Perdana Menteri dalam Malaysia. Sebenarnya itu tanggapan yang salah kerana pemimpin tertinggi di Malaysia tetap Perdana Menteri manakala bagi wilayah yang bersama membentuk Malaysia seperti Sarawak dipanggil ‘Premier’,” katanya.
Mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong yang menyamakan gelaran itu dengan jenama tisu, katanya ia sepatutnya tidak berlaku kerana sebagai rakyat Sarawak beliau harus berbangga dengan pertukaran status itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




