Shanghai: Pengeluar robot humanoid China kini mengembangkan perkhidmatan mereka ke bidang hiburan dengan menyewa robot untuk perkahwinan, konsert, acara korporat dan persembahan kung fu, lapor VN Express International.
Syarikat robotik China, Botshare memperkenalkan ‘program pengalaman robot 999 yuan (kira-kira RM565) untuk semua orang’ menjelang Hari Kekasih dan Tahun Baru Cina bulan ini.
Harga sewaan bermula pada 999 yuan (kira-kira RM565) sehari untuk tempahan lapan jam, dan ia boleh meningkat sehingga 99,800 yuan (kira-kira RM56,522) sehari untuk perkhidmatan khas berkelas tinggi.
AgiBot, pengeluar robot humanoid terbesar dunia, melancarkan platform Qingtian Rent pada Disember 2025 bagi menawarkan robot humanoid untuk 16 jenis acara termasuk perkahwinan, mesyuarat perniagaan dan konsert.
Ketua Pegawai Eksekutif, Li Yiyan berkata, platform Qingtian Rent itu, kini beroperasi di 50 bandar dan sudah bekerjasama dengan 600 penyedia perkhidmatan serta lebih 1,000 robot.
Dalam pada itu, pengerusi Botshare dan rakan kongsi di AgiBot, Jiang Qingsong berkata, platform sewaan boleh menghubungkan pengguna, perantara sewaan, pembangun kandungan dan pengeluar, sekali gus mempercepat penggunaan.
Platform itu turut menampilkan model humanoid daripada syarikat lain, menyasarkan acara pelancongan budaya, korporat, promosi pusat beli-belah dan pembukaan kedai runcit.
Pada hujung minggu lalu, AgiBot menganjurkan gala robot secara langsung di Shanghai, di mana robot mereka membuat lakonan, menyanyi, menari dan mempamerkan rutin kung fu untuk mempromosikan perkhidmatan sewaan.
Perkhidmatan ini berharga 99 yuan (kira-kira RM56) untuk sesi 90 minit dengan seorang jurutera berada di lokasi untuk memasang dan menyelaraskan robot berkenaan.
Trend sewaan robot meningkat pada awal 2025 apabila robot humanoid G1 dan H1 Unitree Robotics menarik perhatian semasa Gala Tahun Baru Cina, sekali gus menaikkan harga sewaan robot.
Namun, persaingan meningkat apabila lebih banyak robot memasuki pasaran dan syarikat seperti Unitree dan AgiBot beralih ke pengeluaran besar-besaran, menyebabkan kenaikan harga sewaan reda.
Menurut Omdia, pengeluar China menghantar kebanyakan daripada kira-kira 13,000 robot humanoid dihantar ke seluruh dunia pada 2025, melepasi pesaing Amerika Syarikat (AS) seperti Tesla dan Figure kecerdasan buatan (AI).
© New Straits Times Press (M) Bhd




