Guna SARA untuk sambut Ramadan

Guna SARA untuk sambut Ramadan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Proses pembelian barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua yang mula disalurkan, hari ini, berjalan lancar dan tidak sesak seperti tahun lalu.

Pesara di sebuah badan berkanun, Zaiton Shahril, 62, berkata, dia menggunakan inisiatif berkenaan bagi membeli makanan dalam tin untuk persediaan menyambut Ramadan.

“Seperti tahun sebelumnya, saya gunakan SARA yang diterima ‘one off’ ini untuk beli barang dapur termasuk makanan dalam tin untuk Ramadan nanti.

“Semasa tiba di pasar raya ini kira-kira jam 11 pagi tadi, saya dapati proses pembelian berjalan lancar dan tidak perlu beratur panjang.

“Mungkin waktu sekarang bukan waktu puncak dan tidak semua orang mahu menggunakannya hari ini,” katanya ketika ditemui, di sebuah pasar raya di Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Seorang lagi pembeli, Salma Wasoh, 67, berkata, dia belum berhasrat menggunakan SARA dalam waktu terdekat memandangkan sudah menggunakan bantuan SARA bulanan suaminya, Hordri Mohd Saad, 75, membeli barang keperluan, semalam.

“Saya dan suami yang juga pesara tentera sudah beli barang keperluan guna SARA bulanan, semalam. Jadi, hari ini saya beli barang basah tanpa menggunakan SARA ‘one off’.

“Saya bersyukur dengan bantuan ini kerana ia amat banyak meringankan beban kami sekeluarga bagi menambah pembelian barang keperluan asas setiap bulan,” katanya yang juga suri rumah.

Tinjauan di pasar raya berkenaan mendapati jumlah pembeli ramai, namun proses pembelian berjalan lancar dan pembeli tidak beratur panjang.

Terdahulu, media melaporkan SARA mula disalurkan, hari ini, membabitkan peruntukan RM2.2 bilion yang memberikan manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan penerima akan mendapat RM100 secara sekali beri (one-off) yang boleh digunakan hingga 31 Disember ini.

MoF memaklumkan berdasarkan maklum balas rakyat, kerajaan turut menambah baik kemudahan pembelian dengan meluaskan kategori barangan kepada makanan sejuk beku menjadikan 15 kategori keseluruhannya.

Langkah itu juga meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli kepada 140,000 jenis barangan.

Sementara itu, media melaporkan pertubuhan bukan kerajaan MyKasih Foundation yang mengendalikan data SARA sudah meningkatkan sistem termasuk kapasiti ‘bandwidth’ bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar, hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, langkah berkenaan diambil berdasarkan pengalaman sebelum ini bagi mengelakkan sebarang gangguan sistem khususnya pada tarikh pelaksanaan inisiatif itu disalurkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top