Guna seragam polis Hong Kong untuk menipu, 17 warga Taiwan diberkas

Guna seragam polis Hong Kong untuk menipu, 17 warga Taiwan diberkas

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan sindiket ‘calling centre’ antarabangsa yang menjadikan ibu negara sebagai pangkalan untuk memperdaya mangsa luar negara.

Hasil operasi khas itu, seramai 18 warga Taiwan ditahan selepas dikesan menyamar sebagai pihak berkuasa negara asing.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 6.35 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, seramai 17 lelaki dan seorang wanita warga Taiwan berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

“Hasil serbuan itu, pihak polis turut merampas 69 unit telefon bimbit, lima unit komputer riba serta dua helai baju seragam polis Hong Kong.

“Penemuan barang kes berkenaan membawa kepada pembongkaran modus operandi sindiket terbabit.

“Berdasarkan barang kes dijumpai, sindiket disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai polis Hong Kong dan menyasarkan mangsa dari negara itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan sindiket menggunakan fasiliti Internet tempatan bagi melakukan kegiatan itu.

“Sindiket menggunakan capaian Internet untuk menjalankan aktiviti penipuan secara atas talian dan beroperasi sejak lima bulan lalu.

“Semua individu yang ditahan direman selama empat hari sehingga 2 November ini bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top