am@hmetro.com.my
Seremban: Laluan di Persiaran Senawang 1, di sini pernah menjadi lokasi sebuah Proton Satria Neo terbalik dipercayai akibat kereta berlumba dan menyebabkan remaja perempuan parah, baru-baru ini.
Namun, insiden itu nampaknya tidak memberi sebarang pengajaran kepada anak muda daerah ini apabila masih ada yang memecut motosikal dan kereta masing-masing di laluan sama pada 2 pagi, hari ini.
Dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban pada awal pagi itu, ratusan mat motor ‘dipukat’ di lokasi berkenaan.
Susulan lokasinya yang mempunyai banyak lorong tikus, pihak polis meminta bantuan trak tunda untuk mengangkut bukan sahaja mat rempit, malah penonton yang bersidai di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, sebanyak 130 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang bermula pada 1.30 pagi itu.
“Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban bersama agensi luar dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) melancarkan ops ini.
“Operasi ini tertumpu di dua lokasi iaitu Jalan Senawang 19 dan Jalan Persiaran Senawang 1 membabitkan kekuatan seramai lapan pegawai dan 71 anggota daripada pelbagai agensi,” katanya hari ini.
Beliau berkata, seramai 125 individu dan 116 kenderaan diperiksa dan hasilnya, polis mengeluarkan 130 saman atas pelbagai kesalahan serta membuat tiga tangkapan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kami juga membuat sitaan lima motosikal mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987. JPJ mengeluarkan 73 Notis P22 termasuk tiga arahan pemeriksaan kenderaan.
“Sebanyak 11 notis dikeluarkan terhadap motosikal yang gagal ujian pelepasan bunyi bising oleh JAS. MBS pula mengeluarkan tiga kompaun serta sembilan notis dikeluarkan mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya yang memberitahu trak tunda digunakan berjaya menghalang penunggang motosikal daripada melarikan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd