Guna visual masjid, kalimah ALLAH, Waterbomb Seoul cetus kemarahan Muslim

Guna visual masjid, kalimah ALLAH, Waterbomb Seoul cetus kemarahan Muslim
Aksi Suji mencetuskan kemarahan warganet terutamanya Muslim. Foto Agensi

Aksi Suji mencetuskan kemarahan warganet terutamanya Muslim. Foto Agensi

SEOUL – Festival muzik musim panas popular di Korea Selatan, Waterbomb Seoul 2025 mengundang kecaman warganet susulan tindakan seorang pelawak wanita yang disifatkan menghina agama Islam.

Pelawak terbabit, Lee Suji dikritik hebat selepas tampil di atas pentas dalam pakaian seksi sambil menari dengan gaya sensual berlatarbelakangkan visual masjid, kalimah ALLAH dan simbol keagamaan lain dalam persembahannya.

Suji, yang bertubuh gempal mempersembahkan lagu Like Jennie yang dipopularkan oleh anggota kumpulan K-pop, Blackpink.

Aksinya mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet Muslim yang menyifatkan persembahan itu sebagai tidak sensitif dan menghina agama Islam.

Rakaman persembahan berkenaan dikongsi pengguna akaun @yeriniff di platform X, yang turut mempersoalkan tindakan Suji serta menzahirkan kekecewaan kerana tidak cakna dengan penggunaan simbol agama Islam.

“Saya berasa amat kesal, seolah-olah agama kita sengaja dipersendakan,” tulis pengguna itu seperti dilaporkan media Indonesia pada Isnin.

Ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri reaksi daripada warganet Muslim yang tersinggung dan menuntut penjelasan daripada selebriti berkenaan.

“Suji, agama saya bukan untuk anda perolok-olokkan,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi memberi komen serupa, “Gunakan kalimah ALLAH ketika membuat persembahan Waterbomb jelas tidak menghormati Muslim. Agama saya bukan untuk dipermainkan.”

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh penganjur mahupun selebriti terlibat berhubung kontroversi tersebut. – Agensi

 

 

Scroll to Top