Guna wang kertas RM100 palsu, tujuh individu ditahan

Guna wang kertas RM100 palsu, tujuh individu ditahan

am@hmetro.com.my

Langkawi: Polis menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan, disyaki menggunakan wang palsu untuk membuat pembayaran di beberapa premis perniagaan sekitar daerah ini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, semua suspek berusia 24 hingga 36 tahun itu ditahan susulan empat laporan polis diterima pihaknya.

“Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi menerima laporan pertama pada 8.36 malam tadi. Empat premis perniagaan di kawasan Pantai Chenang, Padang Matsirat dan Kuah dikesan menerima bayaran menggunakan wang kertas RM100 yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan, polis berjaya menahan tujuh suspek berkenaan dan mereka kini direman selama tiga hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah, manakala sebahagian daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top