mdroji@bh.com.my
Bandar Seri Begawan: Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk, terutama di Sarawak.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan menggunakan saluran diplomatik bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia kepada Indonesia berhubung pencemaran udara.
Beliau berkata, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, akan menulis surat kepada rakan sejawatnya di Indonesia selain mengemukakan perkara itu secara terus kepada Sekretariat ASEAN.
Katanya, langkah berkenaan dilihat sebagai usaha Malaysia menangani isu kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan menerusi kerjasama serantau, khususnya menggunakan mekanisme yang sedia ada di bawah ASEAN.
“Mekanisme ASEAN lebih berkesan bagi memastikan Sekretariat ASEAN dapat mengurus urus setia bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha menangani punca kebakaran hutan yang menyumbang kepada pencemaran udara rentas sempadan.
“Surat berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN dalam tempoh sehari dua ini bagi membolehkan tindakan susulan dan penyelarasan di peringkat serantau dilakukan dengan segera,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ke-27 Pelaksanaan Exchange of Letters (EOL-27), di sini, hari ini.
Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen pemantau kualiti udara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian menunjukkan peningkatan ketara pagi ini, sekali gus membimbangkan penduduk di kawasan berkenaan yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Serian mencecah 242 setakat jam 6 pagi, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jerebu kepada kesihatan awam, khususnya golongan berisiko, selain meningkatkan keperluan untuk Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama dalam menangani kebakaran hutan serta pencemaran udara rentas sempadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
