am@hmetro.com.my
Melaka : Seorang pengusaha kedai gunting rambut tidak ketinggalan mengambil keberkatan Ramadan dengan menawarkan khidmat gunting rambut percuma di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, baru-baru ini.
Muhammad Hilman Mohd Rosli, 29, berkata idea berkenaan tercetus daripada keinginan untuk berkongsi rezeki serta mendekatkan diri dengan masyarakat setempat sepanjang bulan penuh barakah ini.
Menurutnya, perkhidmatan percuma itu menyasarkan untuk membantu orang ramai, khususnya golongan kurang berkemampuan termasuk golongan B40, warga emas dan pelajar, selain mengimarahkan masjid sebagai pusat penyatuan komuniti.
Katanya, beliau tidak menyangka dalam tempoh lebih tiga jam seramai 60 orang daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang hadir ke program itu untuk mendapatkan khidmat percuma yang disediakan pelajar Akademi Hillmen Hair Studio.
“Ramadan adalah bulan memberi, jadi kami fikir apa salahnya gunakan kepakaran yang ada untuk bantu orang ramai.
“Walaupun khidmat yang diberikan ini kecil, namun kami harap ia memberi makna kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Beliau berharap usaha kecil itu mampu mencetuskan lebih banyak inisiatif kebajikan dalam kalangan komuniti setempat, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
Sementara itu, seorang ibu tunggal empat anak meluahkan rasa syukur dengan penganjuran program berkenaan yang disifatkan sangat membantu untuk berjimat sepanjang Ramadan.
Siti Effah Mat Zain, 38, berkata, sebagai ibu dia sentiasa mahu melihat anaknya tampil kemas sepanjang Ramadan, namun mengenangkan kos gunting rambut yang dianggarkan melebihi RM30 bagi keempat-empat anaknya menyebabkan beberapa kali terpaksa melupakan hasrat itu.
“Ada pemakluman mengenai program ini di masjid, jadi saya datang membawa tiga daripada empat anak untuk gunting rambut secara percuma.
“Syukur, memang sangat membantu golongan kurang berkemampuan seperti saya. Kalau boleh, diadakan lebih kerap program seperti ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




