
Gunung Lewotobi Laki‑laki semasa meletus menghasilkan awan abu vulkanik di udara. – Foto: Kompas.com
FLORES TIMUR – Gunung berapi Lewotobi Laki-laki di Nusa Tenggara Timur yang kini berada pada Tahap IV (awas) meletus sebanyak tiga kali dalam tempoh enam jam awal pagi Rabu, sekali gus mencetuskan amaran keselamatan kepada penduduk sekitar.
Menurut Pos Pengamatan Gunung Api (PGA) Lewotobi Laki-laki, letusan direkodkan berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi (waktu tempatan) dengan kekuatan amplitudo antara 11 hingga 29.6 milimeter berdasarkan bacaan seismograf.
Ketua Pos PGA Lewotobi Laki-laki, Herman Yosef Mboro berkata, setiap letusan berlangsung antara 83 hingga 134 saat.
“Kolum letusan tidak dapat diamati kerana kawasan puncak gunung ditutupi kabut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ketika kejadian, cuaca di sekitar gunung berawan dan mendung dengan angin bertiup lemah ke arah utara dan barat laut serta suhu sekitar 22 hingga 24 darjah Celsius.
Selain letusan, Herman memaklumkan turut berlaku dua kali gempa embusan – satu gempa frekuensi rendah dan satu gempa vulkanik dalam selain tiga gempa tektonik jauh.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk di kawasan sekitar agar terus berwaspada terhadap risiko banjir lahar hujan, terutama jika berlaku hujan lebat yang boleh mengalirkan material vulkanik dari puncak gunung.
Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko termasuk Dulipali, Padang Pasir, Nobo, Nurabelen, Klatanlo, Hokeng Jaya, Boru dan Nawakote yang mempunyai sistem sungai berhulu di kawasan puncak gunung.
“Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan pelindung seperti topeng muka untuk mengurangkan risiko terdedah kepada abu gunung berapi,” jelasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius enam kilometer dari puncak gunung, termasuk kawasan sektoral di barat daya hingga timur laut sejauh tujuh kilometer.