
Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus sebanyak lima kali pada Jumaat, sehingga mencetuskan aliran piroklas sejauh 3,000 meter – Foto Antara
JAKARTA – Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus sebanyak lima kali pada Jumaat, sehingga mencetuskan aliran piroklas sejauh 3,000 meter, menurut pihak berkuasa.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru, Sigit Rian Alfian berkata, gunung berapi yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang itu kekal pada status Amaran (Tahap 3) susulan siri letusan yang bermula pada 7.42 pagi waktu tempatan, lapor agensi berita ANTARA.
Beliau berkata, tiga letusan pertama berlaku pada 7.42 pagi, 10.56 pagi dan 12.46 tengah hari, yang masing-masing menghamburkan kepulan letusan setinggi kira-kira 1,000 meter di atas puncak, dengan aliran piroklas bergerak sejauh 3,000 meter ke arah tenggara semasa letusan kedua.
Sigit berkata, gunung berapi itu meletus sekali lagi pada 2.22 petang, menghasilkan kepulan letusan setinggi 800 meter di atas puncak dan aliran piroklas sejauh 2,500 meter ke arah tenggara.
“Aliran piroklas berlaku sekali lagi semasa letusan kelima pada 2.31 petang dengan jarak luncuran kira-kira 2,500 meter ke arah tenggara, atau Besuk Kobokan,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai supaya mematuhi saranan Pusat Volkanologi dan Pengurangan Bencana Geologi (PVMBG) dan menasihatkan mereka agar tidak melakukan sebarang aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam radius 13 kilometer dari puncak.
Penduduk juga diminta supaya sentiasa berwaspada terhadap potensi aliran piroklas, runtuhan lava, dan aliran lahar di sepanjang saluran sungai dan lembah yang berpunca dari puncak Gunung Semeru, terutamanya di sepanjang Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar, dan Besuk Sat serta potensi aliran lahar di anak sungai kecil yang bersambung dengan Besuk Kobokan. – Bernama
Ringkasan AI
- Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus sebanyak lima kali pada Jumaat
- Aliran piroklas mencapai jarak sejauh 3,000 meter
- Status amaran gunung berapi kekal pada Tahap 3
- Tiga letusan pertama berlaku pada waktu pagi hingga tengah hari, menghamburkan kepulan letusan tinggi
- Orang ramai diminta untuk tidak melakukan aktiviti dalam radius 13 kilometer dari puncak dan berwaspada terhadap potensi bahaya



