Gurauan jadi tragedi, guru maut dilanggar kenderaan

Gurauan jadi tragedi, guru maut dilanggar kenderaan
Gurauan jadi tragedi, guru maut dilanggar kenderaan

Hughes (kanan) maut selepas alami kecederaan serius. Foto media antarabangsa

GAINESVILLE, Amerika Syarikat – Seorang guru sekolah menengah maut selepas dilanggar kenderaan yang dipandu pelajarnya ketika bergurau di rumahnya, lapor New York Post.

Dalam kejadian sekitar jam 11.40 malam pada 6 Mac lalu, guru matematik Jason Hughes, 40, keluar dari rumahnya selepas menyedari sekumpulan pelajar melakukan gurauan dengan menabur kertas tandas di sekitar kawasan rumahnya.

Menurut laporan itu, Hughes kemudian menghampiri kumpulan pelajar berkenaan yang cuba melarikan diri dengan kenderaan.

Bagaimanapun, ketika kejadian dia dipercayai tersadung dan terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah trak pikap yang dipandu seorang pelajar berusia 18 tahun.

Mangsa yang juga jurulatih sukan di North Hall High School dikejarkan ke Northeast Georgia Medical Center, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Susulan kejadian itu, pemandu kenderaan berkenaan ditahan dan berdepan tuduhan termasuk membunuh menggunakan kenderaan serta memandu secara cuai.

Empat lagi pelajar yang terlibat turut ditahan dan berdepan pertuduhan menceroboh serta membuang sampah di kawasan persendirian.

Hughes yang juga bapa kepada dua anak lelaki disifatkan sebagai guru yang dihormati dan disayangi pelajar serta rakan sekerja di sekolah berkenaan.

Ringkasan AI

  • Guru sekolah menengah maut selepas dilanggar kenderaan dipandu pelajarnya ketika bergurau di rumahnya
  • Kejadian berlaku sekitar jam 11.40 malam pada 6 Mac apabila guru tersebut keluar menyiasat kertas tandas yang ditabur di halaman rumahnya
  • Guru tersebut tersadung dan terjatuh sebelum dilanggar trak pikap yang dipandu pelajar berusia 18 tahun
  • Mangsa, juga jurulatih sukan, meninggal dunia akibat kecederaan di hospital
  • Pemandu trak ditahan dan berdepan tuduhan membunuh menggunakan kenderaan serta memandu cuai, empat pelajar lain ditahan atas pertuduhan menceroboh
Scroll to Top