Guru besar maut nahas jalan raya, warga emas dihempap pokok

Guru besar maut nahas jalan raya, warga emas dihempap pokok

Kuantan: Guru besar maut dalam nahas jalan raya selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas di jalan utama berhampiran Sekolah Kebangsaan Guai di Bera pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam insiden pada 6.30 petang itu, Mohd Sabri Bakar, 59, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Durian Hijau di Jerantut dan beralamat di Temerloh, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian Mohd Sabri dalam perjalanan ke rumah abangnya di Kampung Guai dan semasa tiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai telah hilang kawalan serta terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa telah dikeluarkan orang awam daripada kereta terbabit sebelum kenderaannya terbakar 80 peratus akibat kemalangan itu,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam kes berasingan, Zulkiflee berkata, seorang lelaki warga emas maut dipercayai dihempap pokok ketika menunggang motosikal di Kilometer 34, Jalan Kuala Bera-Chenor dan pihaknya menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa Kamar Seman, 65, pada 7 malam.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar Hospital Bera untuk bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top