am@hmetro.com.my
Melaka: Guru didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan Julai lalu.
Muhammad Firdaus Abdull Rashid, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Prosiding kes didengar Hakim Rohatul Akmar Abdullah, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 16 tahun, kira-kira 12.30 tengah hari di bilik sakit, sebuah sekolah di daerah Melaka Tengah, di sini, pada 11 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan RM15,000 berserta syarat dilarang mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
Tertuduh merayu jaminan rendah kerana menanggung mentua serta anak yang masih bersekolah dan isterinya akan menjadi penjamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara menanti perbicaraan selesai dengan ikat jamin RM9,000 dan seorang penjamin serta syarat seperti dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 25 November depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




