rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peti aduan sekolah yang diwujudkan untuk pelajar membuat aduan termasuk kes buli dikatakan gagal berfungsi dengan baik kerana terletak di tempat terbuka dan tiada privasi kepada mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin berkata, kegagalan guru menjaga kerahsiaan pelajar juga antara faktor menyebabkan mangsa buli enggan tampil membuat aduan.
“Maklumat dan cadangan pelajar melalui sesi townhall ini, kita sedar bahawa peti aduan memang ada di setiap sekolah dan mereka (pelajar) boleh tulis secara anonymous (tanpa nama), tetapi ia diletakkan di tempat yang terlalu terdedah.
“Kita boleh memperhalusi perkara ini dan akan cadangkan supaya peti aduan janganlah terlalu terdedah, supaya kanak-kanak rasa selamat dan mereka rasa privasi mereka terjaga.
“Perkara kedua yang sangat mengejutkan adalah pelanggaran privasi oleh guru apabila pelajar maklumkan aduan mereka tersebar dan didedahkan kepada guru lain. Saya sebenarnya sangat terkejut, malah ini membabitkan isu kerahsiaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Townhall Kanak-Kanak Parlimen Malaysia: Buli Dalam Kalangan Kanak-Kanak di Parlimen di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali; Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol serta Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki.
Yeo yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, kesemua input yang diperoleh menerusi program anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu akan dibincangkan bersama ahli jawatankuasa, minggu depan.
Katanya, setiap maklumat dan cadangan terbabit akan disyorkan kepada Kementerian Pendidikan sebagai penambahbaikan dalam menangani isu buli di negara ini.
“Kita akan buat penyataan (laporan) dan serahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentang dan dibahaskan sama ada pada sesi ini jika berkesempatan atau pada sesi akan datang. Tapi harapan kita adalah bentang sesi ini dan kita boleh bahas dalam sesi ini juga,” katanya.
Sementara itu, Rodziah berkata, pihaknya melihat apa yang dilaporkan pelajar menerusi sesi berkenaan datang daripada hati mereka yang memerlukan perhatian serta tindakan sewajarnya.
“Saya agak terkejut apabila dalam perdebatan tadi bercakap mengenai keperluan warden daripada kalangan askar, mereka rasa tak yakin dan ada jarak. Walaupun itu perdebatan, tapi saya rasa sebenarnya ia datang dari hati mereka.
“Begitu juga apabila saya tanya apakah mereka faham sistem atau SOP (prosedur operasi standard) buli, mereka tahu. Tapi mereka tidak ada kepercayaan dan tidak yakin bahawa sistem itu berfungsi,” katanya.
Justeru, beliau berharap kesemua cadangan itu dapat dibawa kepada kementerian demi memperkukuhkan lagi peranan sistem sedia ada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




