Kuala Lumpur: STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) semakin diiktiraf sebagai pemacu utama ekonomi digital dan inovasi masa depan. Namun, Malaysia berdepan satu cabaran senyap tetapi kritikal: ramai guru di sekolah, khususnya di luar bandar, kurang bersedia dan kurang berkemahiran untuk melaksanakan aktiviti STEM yang menarik dan berimpak. Isu ini bukan sahaja melemahkan pengajaran STEM berkesan, malah gagal menanam minat pelajar terhadap bidang ini sejak awal persekolahan.
Guru Bukan Sekadar Pengajar, Tetapi Pemudah Cara Inovasi
Pelbagai kajian menunjukkan ramai guru Sains dan Matematik kekurangan kemahiran pedagogi STEM bersepadu seperti inkuiri dan projek reka cipta, serta menghadapi kekangan masa dan bahan bantu mengajar yang terhad. Kajian yang melibatkan guru Sains dan Matematik mendapati bahawa ramai guru kurang pengetahuan pedagogi STEM, dan menghadapi kesukaran menyediakan aktiviti praktikal seperti eksperimen terbuka serta projek reka cipta.Terdapat 20.3% guru melaporkan kurang pengetahuan untuk menerapkan STEM dalam pengajaran, manakala 57.5% merasa jadual pengajaran mereka tidak mencukupi untuk aktiviti praktikal seperti eksperimen terbuka dan kolaboratif .Hal ini demikian kerana guru kekurangan masa, BBM(Bahan Bantu Mengajar) dan pendedahan kepada kaedah pengajaran berasaskan inkuiri. Tambahan pula, laporan dari Akademi Sains Malaysia dan ISIS Malaysia menunjukkan penggunaan pengajaran berpusatkan teks dan kekurangan latihan profesional menyukarkan guru untuk melaksanakan aktiviti praktikal STEM secara menyeluruh. Ini membuatkan mereka kurang yakin untuk menjalankan eksperimen terbuka, reka cipta atau aktiviti kolaboratif kerana kekangan kemahiran dan pendedahan. Kebanyakan guru hanya mengikut buku teks dan elak daripada aktiviti praktikal kerana tiada latihan khusus, ruang, atau sokongan teknikal.
Keadaan ini bertambah buruk apabila beban kerja guru tinggi, latihan dalam perkhidmatan yang bersifat sekali-sekala, dan kurangnya hubungan langsung dengan komuniti penyelidik dan pencipta. Tanpa rangka kerja pembangunan profesional yang berterusan, guru sukar menjadi fasilitator pembelajaran aktif.
Kesan Kepada Pelajar
dan Ekosistem Inovasi
Ramai dalam kalangan guru dilaporkan tidak mendapat latihan mencukupi untuk mengendalikan aktiviti berinovasi seperti eksperimen terbuka, projek reka cipta atau kaedah penyelesaian masalah secara bersepadu. Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan bahan bantu mengajar (BBM) yang sesuai serta kekangan masa dalam jadual yang padat.
Apabila guru tidak yakin atau tidak kreatif dalam menyampaikan STEM, guru akan gunakan cara “main-selamat(play-safe)” terutamanya pada subjek Matematik dan Sains dengan menyampaikan kandungan berdasarkan silibus sahaja dan elakkan daripada kandungan luar jangkaan. pelajar akan menganggap subjek ini membosankan, sukar dan tidak relevan. Ini membawa kepada pemerosotan minat serta kurangnya penyertaan dalam kelab STEM, pertandingan reka cipta, atau eksperimen kendiri.
Di sebalik pelbagai inisiatif yang dikemukakan, ramai pelajar masih tidak melihat inovasi sebagai satu laluan kerjaya yang menjamin masa depan. Kekurangan contoh kejayaan tempatan serta ketiadaan budaya yang menerima kesilapan merupakan salah satu faktor pelajar takut untuk mencuba. Berbeza dengan negara seperti Korea Selatan dan Finland, budaya inovasi sudah diterapkan sejak bangku sekolah lagi dengan sokongan penuh institusi pendidikan dan industri.
Universiti Sebagai Rakan Strategik Sekolah
Salah satu penyelesaian paling praktikal ialah membina kerjasama sistematik antara sekolah dan universiti tempatan. Pensyarah dan pelajar dari fakulti pendidikan, sains dan kejuruteraan boleh menjadi mentor kepada guru sekolah, menganjurkan bengkel “train-the-trainer”, dan membantu membina modul aktiviti STEM yang sesuai.
Program seperti “STEM@Universiti” atau “Akademi Inovasi Komuniti” boleh dijadikan platform kolaboratif. Guru datang ke universiti untuk menerima latihan intensif dan bimbingan berterusan. Sebaliknya, pensyarah dan pelajar universiti turun padang ke sekolah-sekolah untuk membantu dalam aktiviti seperti hari sains, pertandingan robotik atau projek komuniti berasaskan sains.
Apakah cadangan penambahbaikan?
- KPM mewujudkan dasar rasmi kerjasama Sekolah-Universiti di bawah Pelan Induk Pendidikan Digital.
- Universiti awam memperuntukkan jam kredit kokurikulum kepada pelajar yang menjadi fasilitator STEM di sekolah.
- Penubuhan “Hub STEM Negeri” yang menyelaras aktiviti dan latihan antara guru, pensyarah dan NGO pendidikan.
- Sektor swasta digalakkan menyumbang melalui dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), iaitu inisiatif bukan keuntungan syarikat untuk menyokong pembangunan pendidikan. seperti menaja program latihan guru serta membekalkan bahan eksperimen mudah alih ke sekolah-sekolah. Contoh syarikat yang aktif termasuk Petronas (PETRONAS All About Youth), TM (Future Skills for All), dan CIMB Foundation.
PENULIS:
YAP ZHEN YI
PELAJAR SARJANA PENDIDIKAN (FIZIK), FAKULTI SAINS & MATEMATIK, UPSI
DR MOHD MOKHZANI IBRAHIM
PENSYARAH,FAKULTI SAINS & MATEMATIK, UPSI