
Ahmad Zaki Febiansyah mencuri perhatian ramai apabila memilih untuk berlari sejauh empat kilometer (km) ke sekolah sebagai usaha menjimatkan bahan bakar minyak (BBM) dan mengamalkan gaya hidup sihat. Foto: Agensi
BOJONEGORO – Seorang guru di Bojonegoro mencuri perhatian ramai apabila memilih untuk berlari sejauh empat kilometer (km) ke sekolah sebagai usaha menjimatkan bahan bakar minyak (BBM) dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Ahmad Zaki Febiansyah, 34, guru Pendidikan Jasmani, Olahraga dan Kesihatan (PJOK) di Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) Kasiman, menjadi tular selepas video berdurasi 36 saat memaparkan rutin uniknya berlari ke tempat kerja dimuat naik di media sosial.
Tindakan itu bukan sekadar mencuri perhatian, sebaliknya merupakan respons kreatif terhadap arahan Presiden Prabowo Subianto yang menekankan penjimatan tenaga, selain disokong inisiatif kerajaan tempatan yang menggalakkan penjawat awam menggunakan pengangkutan mesra alam bagi jarak dekat.
Berbeza dengan saranan menggunakan basikal bagi jarak sekitar tujuh kilometer, Zaki yang berasal dari Kecamatan Padangan memilih untuk berlari sebagai alternatif lebih mencabar.
Menurutnya, langkah itu selari dengan peranannya sebagai guru sukan untuk menjadi contoh kepada pelajar.
“Berbeza dengan yang lain berbasikal, saya fikir berlari juga satu bentuk senaman yang boleh dilakukan ketika ke tempat kerja selain memberi contoh menjaga kesihatan,” katanya.
Zaki mengambil masa hanya kira-kira 15 minit 40 saat untuk menempuh jarak empat kilometer dari rumah ke sekolah, sekali gus membuktikan tahap kecergasan yang tinggi.
Tambahnya, keputusan untuk tidak menggunakan kenderaan bermotor juga bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan disiplin kesihatan dalam rutin harian yang sibuk.
Aksi tersebut turut memberi kesan positif apabila beberapa rakan sejawat mula menunjukkan minat untuk mengikuti langkah sama.
Malah, seorang guru kaunseling dijangka menyertai Zaki berlari ke sekolah pada minggu hadapan.
Beliau berharap usaha kecil itu mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai penjawat awam untuk mengamalkan gaya hidup aktif serta menyokong inisiatif penjimatan tenaga.
“Semoga ini menjadi perkara positif kepada rakan-rakan lain. Isnin nanti saya akan berlari bersama guru Bimbingan Kaunseling,” katanya. – Agensi
Ringkasan AI
- Seorang guru di Bojonegoro berlari ke sekolah untuk menjimatkan bahan bakar minyak dan mengamalkan gaya hidup sihat.
- Ahmad Zaki Febiansyah tular selepas video berlari ke tempat kerja dimuat naik di media sosial.
- Langkah ini adalah respons kepada arahan Presiden Prabowo Subianto dan sokongan inisiatif kerajaan tempatan.
- Beliau mengambil masa 15 minit 40 saat untuk berlari 4 kilometer yang menunjukkan tahap kecergasan tinggi.
- Usaha ini memberi inspirasi kepada penjawat awam lain untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan menjimatkan tenaga.



