am@hmetro.com.my
Tawau: Guru maut, manakala tiga lagi pemandu terselamat dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 53, Jalan Tawau-Kunak.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, mangsa, Muhammad Bahauddin, 30, yang bertugas di Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Kunak, memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berusia 39 tahun dari arah Batu 3, Jalan Apas menuju ke Pekan Kunak dipercayai hilang kawalan.
Katanya, kenderaannya terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tiga kenderaan lain, iaitu lori dipandu lelaki berusia 21 tahun, Toyota Hilux dipandu lelaki berumur 44 tahun dan kenderaan dipandu mangsa.
“Kenderaan mangsa tercampak ke dalam parit di bahu jalan dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan.
Jasmin berkata, mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu Mitsubishi Triton dan dua lagi kenderaan tidak cedera, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd