
Kejadian itu turut tular di media sosial. Foto Agensi
SULAWESI UTARA – Sebuah video tular memaparkan tindakan agresif seorang guru lelaki yang bertindak menumbuk cermin tingkap bilik darjah sehingga pecah, dipercayai berang selepas ditegur kerana kerap tidak hadir ke sekolah.
Kejadian dilaporkan berlaku di Sekolah Dasar Negeri (SDN) 3 Kaidipang, wilayah Bolaang Mongondow Utara (Bolmut), Indonesia, pada Sabtu lalu, semasa sesi pembelajaran sedang berlangsung.
Rakaman insiden berkenaan mula tersebar meluas di media sosial selepas dimuat naik oleh akaun Instagram @lambekawanua dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Difahamkan, pergaduhan bermula apabila seorang guru wanita yang bertugas mencatat kehadiran kakitangan, menegur guru lelaki berkenaan yang dikenali sebagai FM kerana jarang hadir bertugas tanpa alasan kukuh.
Namun, teguran tersebut tidak diterima dengan baik oleh FM yang terus bertindak agresif, menumbuk cermin tingkap bilik darjah hingga pecah dan memecahkan kemudahan sekolah yang lain.
Beberapa guru lain yang turut berada dalam bilik darjah dilihat cuba menenangkan keadaan dan meleraikan pertelingkahan antara kedua-dua guru berkenaan, yang lengkap berpakaian seragam guru berwarna coklat.
Menurut maklumat yang diperoleh daripada beberapa sumber tempatan, kejadian itu berlaku semasa sesi pembelajaran sedang berjalan, sekali gus menimbulkan kegusaran dan ketakutan dalam kalangan murid dan guru lain.
Setakat ini, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Bolmut belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau penjelasan lanjut berhubung insiden tersebut.
Kejadian ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat setempat, yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana guru yang menunjukkan tingkah laku agresif atau tidak profesional di sekolah.-Agensi