Guru, pemandu bas di Hong Kong diberi keutamaan divaksin

Orang ramai menerima suntikan vaksin Sinovac di sebuah pusat vaksinasi komuniti di Hong Kong pada 23 Feb lalu. (Gambar AP)

HONG KONG: Pegawai tertinggi Hong Kong berkata, program vaksinnya akan diperluaskan kepada lebih banyak kumpulan keutamaan, termasuk guru dan pekerja penghantaran, ketika ketakutan semakin memuncak terhadap reaksi buruk susulan pelancaran vaksin.

Sekurang-kurangnya dua maut dan beberapa lagi jatuh sakit dengan serius selepas menerima suntikan vaksin Sinovac dari China.

Kerajaan berkata, ia masih menyiasat kematian itu dan vaksin terbabit serta akan melaporkan sebarang penemuan secepat mungkin.

Kira-kira 93,000 orang divaksin sejak pelancaran program itu mulai 26 Feb lalu.

“Reaksi buruk ini amat membimbangkan kami,” kata Sophia Chan, setiausaha kesihatan Hong Kong pada sidang media hari ini.

“Kami tidak pasti jika ia ada kaitan dengan vaksin. Sebaik saja kami mempunyai sebarang maklumat atau kesimpulan, kami akan umum butirannya kepada orang ramai.”

Menurut statistik kerajaan, tempahan vaksinasi merosot beberapa hari ini dengan kira-kira 4,900 orang membuat tempatan setakat 5 Mac lalu berbanding 12,300 orang pada 3 Mac lalu.

Chan berkata, individu yang tidak pasti dengan keadaan kesihatan sendiri perlu menemui doktor sebelum membuat tempahan untuk divaksin.

Hong Kong dijadual memulakan penggunaan vaksin Pfizer/BioNTech minggu ini. Sehingga kini, Sinovac ialah satu-satunya pilihan yang ada.

Patrick Nip, setiausaha perkhidmatan awam Hong Kong, berkata tujuh kumpulan pilihan tambahan akan dibenarkan memohon vaksin, termasuk mereka yang bekerja dalam bidang katering, pasar raya dan kedai serbaneka serta pengangkutan awam seperti pemandu bas.

Untuk meredakan ketakutan rakyat, Matthew Cheung, setiausaha pentadbiran Hong Kong, melalui blognya pada Ahad berkata, kerajaan akan melakukan “pemantauan vaksinasi dan respons terhadap kebimbangan sosial dengan baik bagi melindungi kesihatan awam serta memberi ketenangan jiwa kepada rakyat”.

Scroll to Top