Guru rugi RM200,000 diperdaya 'Inspektor Tahar'

Guru rugi RM200,000 diperdaya 'Inspektor Tahar'

bhnews@bh.com.my

TUMPAT: Guru wanita kerugian RM223,749 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai wakil dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mangsa yang berusia 58 tahun diperdaya kononnya memiliki tunggakan cukai dan terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram serta dadah di mana waran tangkap ke atasnya akan dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pada tengah hari 4 Februari lalu, wanita itu menerima panggilan daripada suspek yang menyamar pegawai LHDN memaklumkan mangsa memiliki tunggakan cukai kerana ada pihak menggunakan namanya mendaftar sebuah syarikat di Kuantan, Pahang.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan ‘disoal siasat’ sebelum bercakap dengan suspek menyamar sebagai ‘Inspektor Tahar’ di mana wanita itu diberitahu dia terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram dan dadah dan waran tangkap ke atasnya akan dikeluarkan.

“Lelaki itu meminta nombor telefon mangsa dan memberitahu akan menghantar aplikasi Bank Negara (BNM) melalui Whatsapp dan meminta wanita itu mendaftar maklumat akaun miliknya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Azmir berkata, pada petang yang sama, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Pahang memintanya memuat turun dan mendaftar aplikasi berkenaan.

Menurutnya lagi, mangsa terus mengikut arahan dan mengisi maklumat akaun seperti nama, nombor kad pengenalan, jenis bank, kata laluan akaun, nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan juga tarikh luput kad.

Mangsa juga diminta oleh lelaki itu untuk memindahkan wang dari akaun Maybank miliknya ke akaun Bank Rakyat sebelum ke mesin ATM untuk membuat transaksi sebanyak RM30,000 serta tambahan RM40,000 secara pindahan dalam talian.

“Pada tengah hari kelmarin, wanita itu sekali lagi menerima panggilan dari pihak berkenaan membuatkan dia mengesyaki kemungkinan sudah ditipu dan segera ke mesin ATM untuk memeriksa baki akaun Bank Islamnya sebelum mendapati sudah berkurangan sebanyak RM149,999.

“Pemeriksaan terhadap akaun Bank Rakyat miliknya juga berkurangan sebanyak RM73,750 dan mangsa terus meminta pihak kedua-dua bank untuk menyekat kedua-dua akaun berkenaan,” katanya sambil memberitahu mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tumpat semalam.

Terdahulu, Mohd Azmir ditemui di Masjid Mukim Simpangan Hilir, di sini ketika nengiringi Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, hadir menyampaikan 100 kotak makanan sumbangan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra kepada penduduk di Kampung Simpangan selepas menunaikan solat Jumaat bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top