Guru rugi RM230,447, gadai barang kemas, buat pinjaman bank gara-gara scammer

Guru rugi RM230,447, gadai barang kemas, buat pinjaman bank gara-gara scammer

walagesh@nst.com.my

Kuantan: Seorang guru kerugian RM230,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyebabkan dia menggadaikan barang kemas dan membuat pinjaman bank kononnya untuk menangguhkan penahanannya atas dakwaan pengubahan wang haram.

Mangsa yang berusia 40 tahun dari Maran itu diperdaya sehingga percaya bahawa pembayaran tersebut akan menunda pengeluaran waran tangkap terhadapnya dan menghalang asetnya daripada dibekukan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata semuanya bermula pada 16 Jun lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai insurans.

Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis, timbalan pendakwa raya dan pegawai Bank Negara Malaysia.

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan mempunyai 23 akaun bank yang didaftarkan di bawah namanya.

“Mangsa diarahkan untuk membuka akaun bank baharu dan memohon pinjaman. Selepas mendapat pinjaman, mangsa diberitahu untuk mendepositkan wang berkenaan bersama-sama dengan simpanannya dan hasil daripada menggadaikan barang kemas, ke dalam akaun baharu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa membuat 11 transaksi berjumlah RM230,447 ke beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket antara 24 Jun dan 2 September sebelum membuat laporan polis semalam.

Yahaya mengingatkan orang ramai untuk mengesahkan akaun bank melalui portal Semak Mule milik polis di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang pemindahan dana dalam talian, atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top