am@hmetro.com.my
Shah Alam: Guru taska di Bandar Rimbayu, Kuala Langat disiasat, selepas dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pada 18 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, guru wanita berusia 38 tahun sebelum itu ditahan reman lima hari selepas polis menerima laporan dibuat ibu mangsa pada 9 malam 24 Ogos lalu.
Katanya, dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, guru berkenaan didakwa mengheret mangsa dari kelas ke bilik air dengan menarik rambutnya selain suspek turut didakwa memukul kepala kanak-kanak itu menggunakan tudung saji kecil dan botol air.
“Kejadian dimaklumkan oleh guru lain kepada ibu mangsa. Wanita itu kemudian meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebagai bukti sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, wanita berkenaan meneliti rakaman CCTV itu pada 22 Ogos dan mendapati kejadian benar-benar berlaku, dengan suspek turut dilihat mengheret mangsa menggunakan kaki dari kelas hingga ke bilik air.
Untuk itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek diberi jamin polis selepas tamat tempoh reman selama lima hari.
“Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
