saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kejayaan melahirkan generasi celik digital didorong oleh dasar serta teknologi semasa khususnya dedikasi guru yang kreatif di bilik darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru serta pelajar perlu dibekalkan dengan segala kemahiran dan teknologi terkini.
“Guru adalah tulang belakang transformasi pendidikan digital negara dan juga perlu dibekalkan dengan teknologi semasa,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis komuniti Apple Learning Coach di Apple Store, The Exchange TRX, hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan pada 2023 bukan sekadar dokumen polisi, sebaliknya pelan berani untuk memberi setiap murid kemahiran digital yang menjadikan mereka pengguna teknologi yang yakin, kreatif dan beretika.
“Semua ini hanya berjaya jika guru berperanan menjadikan pembelajaran lebih menarik, interaktif dan relevan.
“Saya melihat Program Apple Learning Coach memperkukuh peranan guru dengan melahirkan jurulatih bertauliah yang seterusnya membimbing rakan sejawat dalam memanfaatkan teknologi syarikat itu untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran,” katanya.
Selain itu, katanya, guru di negara ini juga mendapat akses kepada kandungan pembelajaran digital melalui portal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Delima serta forum komuniti pendidikan Apple yang menghimpunkan lebih sejuta pendidik global.
“Gunakanlah teknologi ini untuk terus berkembang, memberi inspirasi dan menyokong satu sama lain.
“Murid kita mengharapkan warga pendidik menunjukkan bahawa teknologi ialah alat untuk kreativiti, penyelesaian masalah dan membina hubungan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




