Guru wanita disyaki cederakan kanak-kanak tadika dengan pen ditahan

Guru wanita disyaki cederakan kanak-kanak tadika dengan pen ditahan

rnoraina@hmetro.com.my

Gombak: Guru wanita yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah tadika swasta di Kota Emerald, Rawang di sini, ditahan polis hari ini.

Wanita berusia 30 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan yang dibuat bapa mangsa pada 11.13 malam semalam.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 10 pagi pada 26 Mei lalu. Bapa mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa melihat kesan kecederaan di kepala anaknya di rumah.

“Mangsa memberitahu ia berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya menggunakan pen semasa berada di tadika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, bapa membawa anaknya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan di kepala.

Noor Ariffin berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top