Guterres gesa Israel tarik balik sekatan NGO

Guterres gesa Israel tarik balik sekatan NGO

New York: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat lalu menggesa Israel menamatkan larangan terhadap agensi kemanusiaan yang menyalurkan bantuan di Gaza.

Beliau menyatakan “sangat bimbang” terhadap perkembangan itu yang dilihat bakal memberi kesan besar kepada penduduk Palestin di wilayah berkenaan.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan berkata, Guterres mahu tindakan itu ditarik balik kerana badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa memainkan peranan penting dalam kerja menyelamatkan nyawa.

Katanya, penggantungan itu berisiko menjejaskan kemajuan rapuh yang dicapai sepanjang tempoh gencatan senjata yang sedang berlangsung.

“Tindakan terbaharu ini akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin,” katanya.

Khamis lalu, Israel menggantung akses 37 organisasi kemanusiaan asing ke Gaza selepas agensi berkenaan enggan berkongsi senarai kakitangan warga Palestin mereka dengan pegawai kerajaan.

Larangan itu turut membabitkan Doctors Without Borders (MSF) yang mempunyai 1,200 kakitangan di wilayah Palestin, dengan sebahagian besarnya berada di Gaza.

Semua NGO yang terbabit dalam larangan itu diarahkan untuk menghentikan operasi selewat-lewatnya pada 1 Mac depan.

Beberapa NGO menyatakan syarat yang dikenakan Israel adalah bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa atau berpotensi menggugat kebebasan operasi mereka.

Israel mendakwa peraturan baharu itu bertujuan menghalang badan yang didakwa menyokong keganasan daripada beroperasi di wilayah Palestin.

Sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023, seramai 1.5 juta daripada lebih dua juta penduduk Gaza dilaporkan kehilangan tempat tinggal.

Sehingga November lalu, pihak berkuasa di Gaza memaklumkan lebih 70,000 orang terkorban manakala hampir 80 peratus bangunan musnah atau rosak akibat serangan Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top