kartika@mediaprima.com.my
FGV Holdings Bhd (FGV) berada di landasan kukuh mempertingkatkan produktivitinya selari untuk mencapai misi kelestarian industri sawit termasuk memperkukuh kerjasama dengan pekebun kecil yang terbabit dalam Ekonomi Sawit Pekebun (ESP).
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata, dalam industri kelapa sawit, usaha kelestarian semakin mendapat perhatian global.
Justeru katanya, FGV menekankan pentingnya membabitkan pekebun kecil dalam inisiatif kelestarian dan amalan mampan, biarpun terdapat cabaran dalam memenuhi piawaian antarabangsa.
“FGV komited membantu pekebun kecil memahami dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa yang semakin ketat, seperti keperluan dokumentasi pematuhan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Ramai pekebun kecil pada awalnya agak sukar untuk memahami kepentingan dokumentasi seperti geran tanah dan peta yang perlu disediakan untuk memastikan buah berasal dari kawasan yang sah, bukan kawasan terlindung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Pengenalan Media: Perjalanan Melalui Kelestarian Bersama FGV di Sungkai, Tapah, dekat sini, baru-baru ini.
Nurul berkata, pihaknya ingin pekebun kecil memahami sebab di sebalik peraturan yang ketat ini, supaya mereka dapat meraih manfaat daripada pensijilan serta akses kepada pasaran premium.
Menurutnya, FGV juga sudah mengadakan sesi perbincangan dan bengkel di seluruh negara, bagi membantu pekebun kecil memahami keperluan itu.
“Melalui program ini, pekebun kecil mula memahami kepentingan pensijilan dan dokumentasi. Walaupun mencabar untuk menarik mereka menghadiri program seperti ini, maklum balas yang diterima sangat positif dan menunjukkan peningkatan kesedaran.
“Bagi pekebun kecil, pematuhan kepada MSPO dan pensijilan antarabangsa membuka peluang kepada harga premium di pasaran global,” katanya.
Beliau berkata, pekebun yang memenuhi piawaian kelestarian mampu memperoleh harga lebih tinggi, manakala mereka yang belum bersedia berbuat demikian masih boleh menjual hasil mereka melalui FGV ke pasaran alternatif.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perladangan FGV Borhan Bachi berkata, agenda kelestarian FGV yang bermula sejak 2015 melalui MSPO, merangkumi aspek perlindungan alam sekitar dan hak pekerja.
Menurutnya, FGV sudah melabur hampir RM1 bilion untuk memperbaiki keadaan buruh dan persekitaran tempat tinggal pekerja.
“FGV juga dalam proses melaksanakan pelan tenaga boleh diperbaharui, yang membabitkan pelaburan besar untuk menyokong inisiatif perubahan iklim,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




