GV Ride ceriakan suasana Krismas dengan kempen 'Santa On-The-Go'

GV Ride ceriakan suasana Krismas dengan kempen 'Santa On-The-Go'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyedia perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride, menceriakan sambutan Krismas menerusi kempen istimewa ‘Santa On-The-Go’ pada hari ini di sekitar Subang Jaya.

Menerusi inisiatif ‘One-Day-Only Surprise’ itu, tiga pemandu terpilih tampil berbeza apabila mengenakan kostum penuh Santa Claus sepanjang operasi, sekali gus mencetuskan suasana ceria dan mengujakan kepada penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand, berkata, seramai 40 penumpang dan empat pemandu bertuah akan dipilih untuk menerima hadiah Krismas istimewa berserta kad ucapan, sebagai tanda penghargaan kepada komuniti pengguna yang setia menyokong perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar membawa kegembiraan kepada pelanggan, malah berperanan mengukuhkan hubungan antara pemandu dan komuniti.

“Musim perayaan adalah waktu terbaik untuk menyebarkan kegembiraan. Kami mahu pengguna merasai pengalaman yang lebih mesra, lebih peribadi dan penuh kejutan,” katanya menerusi kenyataan.

Kabeer berkata, kempen berkenaan adalah antara usaha GV Ride menghargai setiap pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya setiap hari.

Menurutnya, selain itu, diskaun tambang RM10 turut ditawarkan kepada pengguna, terhad kepada satu perjalanan sehari bagi setiap individu.

Katanya, GV Ride akan terus memperkenalkan aktiviti berteraskan komuniti bagi menjadikan platform itu lebih dekat di hati rakyat.

“Kami bukan sekadar menyediakan perkhidmatan e-hailing, tetapi mahu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat. Lebih banyak program unik dan mesra komuniti dirancang pada tahun hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top