GWM Wey G9 MPV dilancarkan di pasaran Malaysia

GWM Wey G9 MPV dilancarkan di pasaran Malaysia

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Great Wall Motor (GWM) Malaysia hari ini melancarkan WEY G9 Hi4 PHEV, model kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Tenaga Baharu plug-in hibrid elektrik (PHEV) pertama dari China yang dipasang secara tempatan (CKD) di negara ini.

Ia sekali gus menandakan fasa baharu komitmen pelaburan jangka panjang GWM di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pemasangan secara CKD adalah teras strategi perniagaan syarikat, melangkaui aspek pengeluaran semata-mata.

“Pengeluaran model ini secara CKD mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan pembuatan tempatan, di samping menyokong pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan serta penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi, selari dengan hala tuju jangka panjang GWM di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran rasmi model berkenaan.

Acara turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin; Naib Presiden GWM International, James Yang, dan Ketua Jurutera Sistem Bervoltan Tinggi GWM, Dr Hu Xin.

Roslan berkata, pemasangan di Melaka membolehkan kawalan kualiti yang lebih teratur serta kecekapan kos jangka panjang, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rangkaian pengeluaran global GWM bagi kenderaan New Energy.

Jenama WEY, yang dinamakan sempena Pengasas dan Pengerusi GWM, Jack Wey, mencerminkan komitmen tertinggi syarikat terhadap keselamatan, kualiti dan pembangunan mobiliti New Energy.

WEY G9 Hi4 PHEV diketegorikan sebagai MPV New Energy mewah yang menyokong peluasan portfolio hibrid GWM di rantau ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi berkata, pelancaran model berkenaan selari dengan hala tuju global syarikat.

“Ia menampilkan kekuatan GWM dalam teknologi hibrid, keselamatan dan reka bentuk berorientasikan pengguna, di samping mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian pengeluaran dan eksport serantau GWM,” katanya.

Dari segi prestasi, WEY G9 Hi4 PHEV menggunakan sistem hibrid pintar Hi4 yang menggabungkan enjin turbo dan motor dwi-elektrik, menghasilkan kuasa 442 PS dan 642 Nm, dengan pecutan 0–100 km/j dalam 5.7 saat, serta sokongan Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC) bagi kestabilan pemanduan.

Model ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 kilometer, manakala jarak keseluruhan melebihi 1,000 kilometer (km) dengan penggunaan bahan api 6.2 liter bagi setiap 100 km, termasuk ketika paras bateri rendah.

WEY G9 Hi4 PHEV ditawarkan pada harga RM269,800 lengkap dengan pakej pemilikan termasuk waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan, dan waranti sistem hibrid lapan tahun atau 180,000 km.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top