PETALING JAYA: GX Bank Berhad (GXBank) menambah baik rangkaian Perbankan Bisnes GX menerusi kolaborasi strategik bersama CGC Digital bagi menawarkan laluan pembiayaan yang lebih fleksibel kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Melalui kerjasama dengan cabang teknologi kewangan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad itu, bank digital berkenaan kini menawarkan had pembiayaan perniagaan yang lebih tinggi sehingga RM150,000.
Sebagai langkah mengurangkan rintangan kemasukan, GXBank turut membuat pembaharuan dengan menerima penyata akaun bank peribadi untuk proses pendaftaran akaun perniagaan dan penilaian kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Kaushik Chowdhury berkata, inisiatif itu dirangka bagi mengiktiraf realiti pasaran di mana sekitar 70 peratus usahawan pemilikan tunggal masih menguruskan modal perniagaan menerusi akaun peribadi mereka.
“Usahawan milikan tunggal adalah nadi penggerak ekonomi Malaysia, namun golongan ini masih kurang mendapat liputan perkhidmatan kewangan formal.
“Pendekatan berasaskan data alternatif dan jaminan digital ini telah menunjukkan perkembangan positif. Sebulan selepas ciri ini diperkenalkan, kami telah meluluskan lebih RM3.3 juta pinjaman dengan rekod melebihi seribu pengguna GX FlexiLoan setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Kaushik, instrumen itu amat penting dalam usaha merapatkan jurang kredit PMKS di Malaysia yang kini dianggarkan bernilai RM90 bilion.
“Kolaborasi tersebut turut memperkenalkan sistem jaminan digital sepenuhnya sebagai asas peningkatan had pembiayaan. Maklum balas pasaran menunjukkan lebih separuh daripada pelanggan memilih kemudahan ini secara organik sekali gus membuktikan keperluan kredit yang lebih berskala untuk fasa pengembangan perniagaan,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin berkata, masa depan pembiayaan PMKS kini tidak lagi terikat kepada kolateral tradisional, sebaliknya dipandu oleh pemahaman potensi perniagaan dalam ekonomi digital.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menerajui model pembiayaan yang lebih inklusif. Dengan menyepadukan sokongan jaminan ke dalam ekosistem perbankan digital, kami memberi peluang lebih saksama kepada PMKS untuk mendapatkan modal pertumbuhan,” katanya.
Sejak dilancarkan pada suku keempat 2025, Perbankan Bisnes GX telah menjadi asas operasi kepada ribuan usahawan domestik terutamanya dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman (F&B) serta pembuatan.
Selain menawarkan proses pendaftaran digital sepenuhnya tanpa sebarang yuran bulanan, produk itu turut menawarkan kadar faedah harian 2.5 peratus setahun bagi deposit perniagaan, di samping kemudahan kredit pusingan bagi memastikan pengurusan modal kerja yang lebih cekap. – UTUSAN




