
Gyokeres (kanan) bertemu Saka dan rakan sepasukan baharunya di Singapura. Foto: Agensi
PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta memberi bayangan bahawa Viktor Gyokeres mungkin akan mengambil alih tugas sebagai pengambil sepakan penalti utama skuad The Gunners bagi menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ketika ini, tanggungjawab itu digalas Bukayo Saka sejak pemergian Alexandre Lacazette, namun pemain antarabangsa England itu juga pernah berkongsi tugasan tersebut dengan kapten pasukan, Martin Odegaard.
Bagaimanapun, kedua-duanya pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam beberapa perlawanan penting sebelum ini.
Arteta berkata, rekod sempurna Gyokeres bersama Sporting Lisbon musim lalu, di mana penyerang Sweden itu berjaya menyempurnakan kesemua 19 sepakan penalti yang diambilnya, menjadikan beliau calon ideal untuk menggalas tanggungjawab tersebut di Arsenal.
“Seperti yang anda tahu, Viktor sangat konsisten dan telah menjaringkan banyak gol. Tapi kami juga mempunyai beberapa pengambil penalti lain yang bagus.
“Mereka akan tentukan sendiri siapa yang akan ambil dan jika tidak, saya akan campur tangan pada waktu yang sesuai,” kata Arteta selepas kemenangan 3-2 Arsenal ke atas Newcastle United dalam aksi pramusim di Singapura pada Ahad.
Media British melaporkan Arsenal telah bersetuju membayar yuran perpindahan sebanyak 55 juta pound (RM425 juta) dengan tambahan 8 juta pound (RM61.8 juta) sebagai insentif kepada Sporting, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 63 juta pound (RM487 juta).
Gyokeres menyertai Arsenal pada jendela perpindahan musim panas ini dengan nilai perpindahan sekitar ÂŁ51 juta (RM317 juta) daripada Sporting Lisbon.
Penyerang berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang selama lima tahun sehingga 2029.
Musim lalu, Gyokeres membantu Sporting menjuarai Liga Portugal dan Piala Portugal, termasuk menjaringkan 54 gol dalam 52 perlawanan di semua kejohanan, antaranya satu hatrik menentang Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara.
Â