London: Viktor Gyokeres menerima tawaran kontrak saingan bernilai £11 juta (RM68.7 juta) setahun selepas mengadakan perbincangan dengan Arsenal dan Manchester United.
Penyerang berusia 27 tahun itu sedang berbincang dengan dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester United, selepas mempamerkan satu lagi musim luar biasa bersama Sporting Lisbon.
Dibeli dari kelab Championship, Coventry City pada 2023, Gyokeres menjaringkan 43 gol pada musim pertamanya bersama Sporting di bawah kendalian Ruben Amorim, pengurus yang kini mengemudi Manchester United.
Musim lalu, Gyokeres mencapai tahap tertingginya apabila meledak 54 gol dalam 52 penampilan, sekali gus membantu Sporting menjuarai liga utama Portugal.
Arsenal dan Manchester United dilaporkan bersaing untuk mendapatkan khidmat Gyokeres, yang mempunyai klausa pelepasan bernilai £84 juta (RM524.7 juta), namun dipercayai boleh diperoleh pada harga sekitar £70 juta (RM437.2 juta).
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, sangat berkeinginan untuk mendapatkan penyerang baharu selepas satu lagi musim tanpa sebarang trofi, dan Gyokeres atau Benjamin Sesko antara pilihan yang mahu dibawa ke Stadium Emirates.
Sementara itu, Amorim juga dilaporkan ingin menyatukan semula dirinya dengan bekas anak buahnya itu di Old Trafford, walaupun United sekadar menamatkan saingan EPL di tangga ke-15 dan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL).
Namun, portal Portugal, Report, pada hujung minggu lalu mendakwa Gyokeres menolak tawaran Manchester United dan kini lebih cenderung menyertai Arsenal.
Situasi itu tampak memberi kelebihan kepada Arsenal dalam perebutan menandatangani penyerang prolifik itu, tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila timbul laporan bahawa The Gunners semakin ‘bosan’ dengan rundingan yang berlarutan bersama pihak pemain dan kelabnya.
Menurut laporan Corriere dello Sport, Juventus merancang untuk mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan itu dengan cuba ‘mencantas’ perpindahan tersebut dan membawa Gyokeres ke Turin.
Ia dilaporkan bahawa selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Gyokeres, kelab gergasi Serie A itu bersedia menawarkan kontrak bernilai £11 juta (RM68.7 juta) setahun kepada penyerang Sweden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd