Gyokeres semakin hampir sertai Arsenal dengan harga RM366 juta

Gyokeres semakin hampir sertai Arsenal dengan harga RM366 juta

London: Mikel Arteta dijangka menamatkan pencarian penyerang tengah apabila Arsenal semakin hampir mencapai persetujuan untuk perjanjian bernilai £64 juta (RM366 juta) bagi mendapatkan Viktor Gyokeres dari Sporting Lisbon.

Gyokeres dijangka menandatangani kontrak lima tahun di Stadium Emirates dan memuktamadkan perpindahan dalam tempoh beberapa hari akan datang selepas rundingan positif semalam, khususnya mengenai struktur bonus tambahan selain daripada bayaran asas £55 juta (RM314 juta).

Menurut laporan, Arsenal kini merancang untuk menerbangkan Gyokeres ke Singapura bagi menjalani ujian perubatan sebelum perpindahan berprofil tinggi dimuktamadkan menjelang jelajah pramusim Gunners.

Skuad kendalian Arteta akan menentang AC Milan malam ini, namun perlawanan itu terlalu awal untuk penampilan Gyokeres, dengan perlawanan persahabatan seterusnya dijadualkan pada Ahad menentang Newcastle.

Pemain antarabangsa Sweden berusia 27 tahun itu telah lama mengidamkan perpindahan ke London Utara walaupun menarik minat yang kuat dari kelab lain, termasuk bekas pengurusnya di Sporting, Ruben Amorim yang kini mengurus Manchester United.

Laporan dari Portugal dalam beberapa hari kebelakangan ini menyatakan United, kini dikendalikan Amorim menyatakan semula minat mereka terhadap pemain itu.

Namun, layanan Amorim terhadap bekas pemain United dan rakan senegara Gyokeres, Victor Lindelof menyinggung hati penyerang tersebut, menurut portal Record dari Portugal.

Kedua-dua pemain itu berkongsi ejen yang sama iaitu ahli perniagaan Turki, Hasan Cetinkaya, dengan Lindelof dikatakan masih mahu kekal di Old Trafford jika ditawarkan kontrak baharu oleh kelab tersebut.

Cetinkaya juga dilaporkan kecewa dengan layanan Amorim terhadap pemain tersebut memandangkan beliau sendiri yang memujuk Gyokeres untuk bermain di bawah kendalian pengurus itu di Sporting.

Difahamkan beliau turut mengetepikan komisen bernilai £6 juta (RM34.35 juta) bagi membantu memastikan perpindahan ke Arsenal dapat diselesaikan.

Gyokeres menunjukkan prestasi luar biasa di Portugal sejak dijual Coventry pada 2023 dengan harga £20 juta (RM114 juta). Dia menjaringkan 97 gol dalam 102 penampilan, membantu Sporting memenangi kejuaraan liga berturut-turut serta kejuaraan liga dan piala musim lalu.

Arteta berharap beliau kini dapat mengetuai misi Arsenal untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2004, selepas tiga musim berturut-turut hanya berakhir sebagai naib juara.

Kempen musim lalu terganggu akibat masalah kecederaan kepada dua penyerang utama, Gabriel Jesus dan Kai Havertz.

Arteta meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan kelab mendapatkan penyerang tambahan pada jendela perpindahan Januari lalu, namun kini beliau menerima sokongan kewangan yang kukuh pada musim panas pertama di bawah pengarah sukan baharu, Andrea Berta.

Gyokeres dan pemain pertahanan tengah Cristhian Mosquera, yang juga dijangka menyertai dengan harga £16.5 juta (RM94 juta) dari Valencia, akan menjadikan jumlah perbelanjaan Arsenal pada musim panas ini melebihi £200 juta (RM1.14 bilion) manakala Martin Zubimendi, Kepa Arrizabalaga, Christian Norgaard dan Noni Madueke telah pun menyertai pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top