London: Erling Haaland terus menulis sejarah apabila muncul pemain terpantas mencecah 100 gol Liga Perdana Inggeris dalam kemenangan penuh debar Manchester City 5-4 ke atas Fulham, awal pagi tadi.
Penyerang Norway itu hanya memerlukan 111 penampilan untuk mencapai angka keramat berkenaan, memadam rekod Alan Shearer yang mengambil 124 perlawanan.
Gol itu bukan sekadar tanda aras baharu, tetapi membuka malam penuh dramatik buat City yang mendahului 5-1 sebelum hampir dikejar Fulham dengan kebangkitan luar biasa di Craven Cottage.
Phil Foden menambah dua jaringan buat pelawat, sementara Tijjani Reijnders turut menemui sentuhan gol untuk mengukuhkan kedudukan City di tangga kedua, kini hanya dua mata di belakang Arsenal.
Namun, tanda tanya besar menyelubungi pertahanan City selepas mereka hampir membenarkan Fulham menyamakan kedudukan pada detik akhir, hanya diselamatkan oleh Josko Gvardiol yang menghalang percubaan Josh King atas garisan.
City sebelum ini turut dipaksa bekerja keras ketika menewaskan Leeds 3-2 dan aksi kali ini sekali lagi menampakkan “kebocoran” yang pasti merisaukan Pep Guardiola dalam pemburuan gelaran liga musim ini.
Haaland yang gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sebelum ini memecah kebuntuan pada minit ke-17 selepas menyambar hantaran Jeremy Doku dengan rembatan deras yang menewaskan Bernd Leno.
Bukan setakat menjaringkan, Haaland turut mencipta peluang apabila lorong pintarnya membantu Reijnders melepasi Leno untuk gol kedua City sebelum Foden meledak gol ketiga dengan rembatan cantik.
Fulham bangkit melalui Emile Smith Rowe sebelum Doku memaksa gol sendiri Sander Berge, disusuli jaringan Alex Iwobi dan dua gol Samuel Chukwueze yang membuat City berpeluh hingga wisel penamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




