Haaland tak puas walau pecah rekod

Haaland tak puas walau pecah rekod

London: Erling Haaland terus mengganas apabila mencipta sejarah sebagai pemain terpantas mencecah 100 gol Liga Perdana Inggeris selepas membantu Manchester City menang gila 5-4 ke atas Fulham, awal pagi tadi.

Penyerang Norway itu hanya memerlukan 111 perlawanan untuk sampai ke angka keramat tersebut sekali gus memadam rekod legenda Alan Shearer (124 perlawanan).

Haaland, 25, mengakui pencapaian itu amat besar dalam kariernya.

“Ia sesuatu yang besar dan saya bangga. Masuk kelab 100 gol ni memang sesuatu yang istimewa,” katanya.

Gol ke-100 itu juga memecahkan kemarau mininya selepas tiga perlawanan tanpa jaringan.

Daripada keseluruhannya, 71 gol hadir melalui kaki kiri dan 17 menerusi tandukan.

Haaland meletup pada minit ke-17 selepas menyambar hantaran Jeremy Doku dengan rembatan kencang dari jarak 12 meter — gol ke-15 liga musim ini, 20 keseluruhan kempen.

Walaupun aksi sembilan gol dianggap ‘gila’, Haaland tetap tidak puas hati dengan prestasi pasukan.

“Ia bukan kemenangan terbaik. Kami tahu perlu perbaiki banyak perkara,” katanya.

City kini hanya dua mata di belakang Arsenal dalam perebutan kejuaraan.

Haaland bagaimanapun enggan terlalu memikirkan rekod sepanjang zaman Shearer yang masih jauh di hadapan dengan 260 gol.

“Saya tahu tentangnya, tapi saya tak fikir sangat.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top