London: Pasukan Haas baru-baru ini memperkenalkan rekaan livery mereka sempena pelancaran Formula Satu (F1) di London, dengan menampilkan diri sebagai ‘Pasukan F1 Amerika’ dalam video yang dibintangi penyanyi Amerika Syarikat (AS), Kane Brown.
“MoneyGram Haas F1 bukan sekadar sebuah pasukan. Ia adalah simbol semangat juang, tekad dan daya yang mencerminkan cara hidup AS,” katanya dalam video berkenaan.
“Selepas 10 tahun, mereka bukan sekadar kekal berdiri teguh. Mereka sedang bangkit. Haas melakukan F1 dengan cara mereka, cara AS. Dan mereka baru sahaja bermula.”
Haas yang dimiliki oleh syarikat AS dan ditaja oleh penaja berasaskan negara berkenaan, MoneyGram, berjaya bangkit dari kedudukan terakhir pada 2023 ke tempat ketujuh pada 2024, menandakan bahawa pasukan F1 terkecil ini dalam keadaan baik sambil meraikan ulang tahun ke-10 mereka dalam sukan ini.
Namun begitu, dakwaan mereka sebagai ‘pasukan F1 AS’ mungkin akan dipertikaikan selepas musim ini.
Jenama Cadillac milik General Motors dijangka memasuki F1 pada 2026, mengibarkan bendera sebagai ‘pasukan AS yang sebenar’, dengan Mario Andretti, juara dunia AS terakhir pada 1978, di dalam lembaga pengarah mereka.
Berbeza dengan Haas, Cadillac mungkin turut mempunyai pemandu AS.
Populariti F1 di AS meningkat dengan ketara selepas siri dokumentari Netflix ‘Drive to Survive’ dan mungkin akan melonjak lagi dengan kemunculan filem F1 yang dibintangi pelakon A-list Hollywood, Brad Pitt, yang akan ditayangkan di pawagam pada bulan Jun.
Kini terdapat tiga perlumbaan di AS Miami, Austin dan Las Vegas, namun Haas bukan satu-satunya pasukan yang mempunyai hubungan dengan AS
Pasukan Williams dimiliki oleh Dorilton Capital yang berpusat di New York, Red Bull mempunyai penaja utama dari AS, Oracle, serta perkongsian enjin dengan Ford pada 2026, manakala pasukan lain juga mempunyai penaja utama dari AS yang signifikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd