Haas 'lepaskan' Godzilla cabar gergasi F1

Haas 'lepaskan' Godzilla cabar gergasi F1

London: Pasukan Formula Satu (F1) Haas bersedia mencuri perhatian musim ini apabila berganding dengan ikon filem terkenal, Godzilla dalam usaha mencabar pasukan gergasi.

Pasukan milik Amerika Syarikat itu yang kini ditaja divisyen sukan permotoran Toyota serta diketuai prinsipal dari Jepun, Ayao Komatsu, mengumumkan kerjasama sepanjang musim dengan studio Toho Co..

Kerjasama itu bakal menyaksikan jentera Haas tampil dengan livery khas berinspirasikan Godzilla, yang akan diperkenalkan di Tokyo pada 24 Mac sebelum membuat debut pada Grand Prix (GP) Jepun (27-29 Mac).

Godzilla, yang digelar ‘Raja Raksasa’, turut menjadi watak utama filem baharu Godzilla Minus Zero yang dijadualkan ditayangkan di Amerika Utara pada November ini.

“Bersedia untuk melihat Godzilla ‘mengganas’ di pentas terpantas dunia,” kata Ketua Godzilla Toho, Keiji Ota.

Haas ketika ini mencuri tumpuan apabila berada di tangga keempat kejuaraan pengeluar selepas dua perlumbaan dan satu saingan pecut.

Pemandu muda Britain, Oliver Bearman, kini berada di kedudukan kelima kejuaraan pemandu selepas mengutip mata dalam ketiga-tiga perlumbaan.

Lebih menarik, Haas yang menamatkan musim lalu di tangga kelapan kini mendahului bekas juara dunia Red Bull Racing dan hanya satu mata di belakang juara bertahan McLaren.

Bearman juga dua mata di depan juara dunia McLaren, Lando Norris.

Pada GP China, Bearman bermula di petak ke-10 sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala pelumba Red Bull, Max Verstappen gagal menamatkan perlumbaan.

“Kami menewaskan Red Bull secara merit hari ini, jadi kami adalah pasukan keempat terpantas, sesuatu yang luar biasa,” kata Komatsu.

Tambahnya, pasukan itu memanfaatkan sepenuhnya peluang terutama selepas McLaren gagal menamatkan perlumbaan.

Haas kini dilihat semakin kompetitif meskipun General Motors yang menyokong kemasukan pasukan baharu Cadillac memiliki sumber lebih besar.

Dengan kombinasi prestasi di litar dan sentuhan ‘Godzilla’, Haas jelas bersedia mencipta kejutan musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top