Hab ekonomi masa depan

Hab ekonomi masa depan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab ekonomi masa hadapan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama dua pelabur global bagi pembangunan Terminal Serba Guna Hab Maritim Antarabangsa Bagan Datuk (BDI-SMT).

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebagai agensi bertanggungjawab memeterai MoU itu bersama firma infrastruktur global, CHEC Construction (M) Sdn Bhd dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersempena Sidang Kemuncak Asean 2025 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, baru-baru ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BDI-SMT bakal menjadi pintu masuk perdagangan strategik menghubungkan Asean, China dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kepada pasaran global.

Beliau berkata, kerjasama bersama CHEC Construction juga merangkumi penubuhan Hab Halal dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi mempercepat transformasi digital serta pengeluaran beretika di Perak.

Dalam pada itu, Saarani berkata, MoU bersama UAE pula bagi meneroka peluang pelaburan strategik berkaitan projek BDI-SMT, di samping kerjasama dalam sektor sekuriti makanan dengan memberi tumpuan kepada pertanian lestari, pengeluaran makanan berteknologi tinggi, daya tahan rantaian bekalan serantau.

“Inisiatif ini mencerminkan kesediaan Perak untuk menerajui sektor yang akan menentukan masa depan perdagangan global dan ketahanan ekonomi.

“Kami mengalu-alukan pelabur yang berkongsi visi Perak Sejahtera 2030 dan berbangga kerana pencapaian ini menyumbang secara langsung kepada Flagship 9: Program Mesra Pelabur dan Flagship 13: Hab Pelabuhan & Maritim.

“Kerjasama ini menunjukkan perubahan ketara ke arah inisiatif yang diterajui secara komersial dengan keutamaan terhadap kecekapan, inovasi dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian bersama UAE disempurnakan oleh Saarani bersama Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi manakala MoU kedua antara Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak bersama Pengarah Urusan CHEC Construction, Ma Jianhua.

Majlis itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Mohamed Hassan menegaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan UAE menjadi asas kerjasama bermakna ini.

Redza Rafiq pula berkata, inisiatif ini mampu membuka peluang besar dalam sektor logistik, infrastruktur pelabuhan, industri halal dan AI, sekali gus memperkasakan ekonomi tempatan melalui penciptaan pekerjaan dan pemindahan pengetahuan.

“Pembangunan BDI-SMT turut menyokong pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu dalam sektor maritim dan logistik di Perak dan Malaysia amnya,” katanya.

Dengan minat berterusan dari pelabur China serta penglibatan aktif UAE, Perak dijangka menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), sekaligus meletakkan negeri ini sebagai pemacu utama ekonomi rantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top