Had alkohol pemandu Malaysia 0.08%, China pun 0.02% – Idris Ahmad

Had alkohol pemandu Malaysia 0.08%, China pun 0.02% – Idris Ahmad

Kerajaan diminta menilai semula had kepekatan alkohol dalam darah (BAC) yang dibenarkan pemandu di Malaysia, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Had allkohol pemandu masih tinggi

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad memaklumkan, ketika ini Malaysia menetapkan had BAC pada 0.08 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding beberapa negara Asia lain seperti Jepun dan Korea Selatan yang masing-masing menetapkan 0.03 peratus, manakala China pula hanya 0.02 peratus.

Beliau berkata, perbezaan tersebut menunjukkan Malaysia tidak tegas dalam aspek kawalan terhadap pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

“Di Korea Selatan dan Jepun, BAC untuk setiap pemandu adalah 0.03 peratus. Malah, di China hanya 0.02 peratus sahaja yang dibenarkan.
“Bagaimanapun, di Malaysia pula 0.08 peratus. Justeru, isu pemandu mabuk ini mesti dinoktahkan segera. Berapa ramai lagi yang perlu menjadi mangsa dek kerana pemandu mabuk?” katanya di Facebook pada Selasa.

Naib Presiden PAS itu turut berkongsi rakaman video ucapannya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 dalam hantaran berkenaan.

Menurut Idris, dapatan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol boleh meningkatkan risiko kemalangan sehingga 13 kali ganda.

Susulan itu, beliau menegaskan kerajaan wajar mempertimbangkan pindaan terhadap had BAC sebagai sebahagian usaha memperkukuh undang-undang berkaitan kesalahan memandu ketika mabuk.

“Dengan kata lain, Malaysia dengan mudah memberi kebenaran kepada individu yang berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi untuk memandu di negara ini.
“Kesimpulannya, saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pindaan termasuk menilai semula had BAC yang terdapat di negara ini supaya keselamatan semua pengguna jalan raya lebih terjamin,” jelasnya.

Artikel lain: Anthony Loke ziarah isteri mangsa rempuhan pemandu mabuk, hulur sumbangan peribadi

Beliau turut menambah bahawa usaha menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat tidak akan memberi makna sekiranya nyawa pengguna jalan raya masih terancam akibat sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk.

“Badan kita jaga, setiap hari ‘brisk walk’. Ahli Parlimen Tambun kita tengok makan beliau jaga, buat senaman dan itu sunnah. Apa yang saya nak sampaikan walaupun kita jaga tapi kita bimbang tiba-tiba mati kemalangan,” tambahnya lagi.

Sumber: Facebook Idris Ahmad

Scroll to Top