H: Had makan durian jika ada risiko kesihatan – Pakar
Nurulain Abd Hadi dan Nurwaheeda Aliasshak
am@hmetro.com.my
Mughshot
Kuala Lumpur: Individu berusia lebih 50 tahun, perokok tegar dan penghidap penyakit kronik tidak digalakkan menikmati durian secara berlebihan atas faktor kesihatan.
Pakar Kesihatan Perubatan Awam, Dr Safiya Amaran berkata, mereka seharusnya mengambil satu hingga dua ulas sahaja bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.
Menurutnya, ini kerana isi durian mengandungi kandungan tenaga dan gula yang tinggi iaitu sekitar 130 hingga 253 kilokalori (kcal) untuk berat 155 gram.
“Durian mempunyai Indeks Glisemik (GI) yang rendah iaitu 49 kerana kandungan seratnya yang tinggi.
“Namun, jika dimakan secara berlebihan boleh meningkatkan paras gula dalam darah dengan ketara, terutamanya bagi pesakit diabetes atau pradiabetes,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan mengenai anggota kumpulan Nico G iaitu Dino, 50, yang mendakwa diserang angin ahmar pada awal Julai lalu akibat memakan tujuh biji durian sehari.
Selain itu, Dino juga adalah perokok tegar.
Dr Safiya berkata, jika seseorang individu berisiko makan durian secara berlebihan, secara tidak langsung boleh menyumbang kepada masalah kesihatan sekali gus menambah risiko untuk mendapat angin ahmar.
Mengulas petua minum air dari pangsa durian untuk mengurangkan rasa panas badan, Dr Safiya berkata, kajian oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2023 menunjukkan kesan itu memang wujud.
“Durian menghasilkan kesan termogenesis iaitu peningkatan suhu badan selepas makan kerana metabolisme meningkat.
“Namun, kajian mendapati minum 500 mililiter air kosong selepas makan durian membantu menstabilkan atau menurunkan sedikit suhu badan.
“Kesan itu hampir sama sahaja sama ada air diminum menggunakan cawan biasa atau pangsa durian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




