am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan bermula dengan pentadbiran beliau terlebih dahulu.
“Dia (had tempoh) bermula daripada saya. Maknanya jangan saya buat undang-undang untuk orang lain.
“Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, di sini, hari ini.
Anwar sebelum ini memaklumkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.
Beliau dilaporkan berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau mahu memberi ruang dan peluang kepada mana-mana pemimpin yang mahu berkhidmat kepada negara.
“(Tempoh) 10 tahun itu cukup memadai untuk dilakukan sebaiknya dan selepas itu bersedia untuk melepaskannya bagi memberi laluan kepada rakan-rakan yang lain untuk meneruskan khidmat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




