lokman.khairi@hmetro.com.my
Rawang: Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh membolehkan rakyat menilai dasar dan prestasi kerajaan tanpa terjerumus dalam permainan sentimen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh maksimum 10 tahun adalah munasabah bagi seorang Perdana Menteri menterjemahkan idea, melaksanakan dasar dan melihat hasil agenda reform yang dibawa.
“Dalam tempoh itu, apa juga perubahan yang ingin dibuat boleh dilaksanakan dan dinilai hasilnya.
“Pada masa sama, ia menghantar isyarat jelas bahawa jawatan Perdana Menteri bukan untuk dipegang terlalu lama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bandar Sungai Buaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, had tempoh itu juga mencerminkan prinsip tanggungjawab dan pertanggungjawaban kepada rakyat, selain memberi ruang kepada rakyat menilai kepimpinan kerajaan secara adil dan objektif.
“Rakyat boleh menilai berdasarkan dasar dan perubahan yang dibuat, bukan berasaskan sentimen kaum, agama atau adu domba.
“Kita mendidik rakyat ke arah politik yang lebih matang iaitu menilai kepimpinan kerajaan dan pemimpin dari sudut dia berjaya atau tidak menterjemahkan agenda perubahan dan agenda reformasi itu,” katanya.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, hasrat mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukanlah idea baharu, sebaliknya sudah lama menjadi antara tuntutan utama gerakan reformasi sejak 1999.
Menurutnya, cadangan itu pernah dibawa ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, namun tidak dapat dilaksanakan kerana ketika itu gabungan pembangkang belum memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan.
“Sekarang barulah kita berada dalam kedudukan untuk melaksanakannya selepas kerajaan berada dalam keadaan stabil.
“Dalam satu penggal lima tahun sebelum ini, negara menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri, tetapi dalam penggal sekarang, sudah tiga tahun dan hanya seorang Perdana Menteri.
Saifuddin berkata, kestabilan itu turut disokong petunjuk ekonomi yang memberangsangkan, sekali gus menyediakan ruang sesuai untuk melaksanakan agenda reformasi termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.
Katanya, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




