Hadi Fayyadh terlepas penampilan pertama

Hadi Fayyadh terlepas penampilan pertama

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyerang muda kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak terlepas peluang meraih penampilan pertama bersama pasukan baharunya, Azul Claro Numazu apabila mengalami kecederaan ketika sesi latihan pasukan.

Namun, pemain berusia 23 tahun itu boleh menghela nafas lega kerana kecederaan yang dialaminya itu tidak begitu teruk walaupun dia perlu diketepikan seketika daripada pasukan untuk menjalani pemulihan.

“Saya agak sedih kerana tidak dapat beraksi bersama pasukan pada aksi pertama hari ini kerana saya mengalami sedikit kecederaan di kaki yang memaksa saya untuk menjalani proses pemulihan selama beberapa minggu.

“Kecederaan ini berlaku ketika saya menjalani latihan bersama pasukan. Tetapi kecederaan ini tidak berapa serius dan cuma memerlukan sedikit masa untuk pulih semula.

“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya dan pasukan ini. InsyaAllah, saya akan kembali dengan semangat yang lebih kuat,” katanya.

Azul Claro Numazu yang beraksi dalam saingan Divisyen 3 Liga Jepun (Liga J) itu akan bertemu Imabari FC, tengah hari ini.

Terdahulu, pemain Fagiano Okayama itu dipinjamkan ke Azul Claro Numazu untuk semusim bagi membolehkan dia meraih minit permainan yang lebih banyak dalam Liga J.

Fagiano Okayama yang beraksi dalam Divisyen 2 juga mahukan tempoh pinjaman itu memberikan pengalaman baharu untuk pemain itu.

Sebagai rekod, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bersama Fagiano Okayama sejak Disember 2018 dan muncul sebagai pemain Malaysia pertama yang bermain dalam liga profesional di Jepun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top