Hadiah dari langit buat mereka yang hadir majlis ilmu

Hadiah dari langit buat mereka yang hadir majlis ilmu

ADAKALANYA kita merasakan hidup begitu menyesakkan dengan pelbagai tuntutan seperti kerja, kewangan, hubungan dan emosi.

Apabila semuanya datang bertimpa-timpa, dada seakan terasa sesak menanggung bebanan yang berasak-asak.

Namun anehnya, tatkala kita duduk dalam majlis ilmu, segala rasa yang menyesakkan itu tiba-tiba sahaja menjadi ringan dan jiwa pula terasa lapang, seolah-olah beban menggunung tadi hilang begitu sahaja walaupun masalah belum lagi selesai.

Demikian realiti yang digambarkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Fazrul Ismail tentang keajaiban majlis ilmu yang digambarkan sebagai ‘majlis yang disaksikan di langit’.

USTAZ FAZRUL

USTAZ FAZRUL

“Itulah antara hadiah langit yang datang bila kita hadir dalam majlis zikir,” coretnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Meskipun secara zahirnya kita hanya duduk mendengar kuliah atau membaca al-Quran, namun Ustaz Fazrul menjelaskan, majlis ilmu bukan sekadar program masjid.

Memperbetulkan tanggapan salah sesetengah masyarakat, beliau menjelaskan, majlis ilmu sebenarnya merupakan pertemuan dua dunia iaitu bumi dan langit.

“Kita duduk atas sejadah, dalam masjid atau sesi al-Quran di bumi, tetapi jiwa kita diangkat ke barisan terhormat di sisi ALLAH SWT,” katanya.

Beliau kemudian memetik sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah ALLAH, membaca kitab ALLAH (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta ALLAH SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-NYA.” (Hadis Riwayat Muslim)

MAJLIS ilmu pada hakikatnya menjadi medan buat mereka yang sedang mencari jalan untuk kembali kepada-NYA. -Foto: CANVA

MAJLIS ilmu pada hakikatnya menjadi medan buat mereka yang sedang mencari jalan untuk kembali kepada-NYA. -Foto: CANVA

Di samping itu, katanya, menghadiri majlis ilmu akan membuka ‘pintu’ kepada empat ganjaran yang juga menjadi ubat hati.

Berikut perinciannya:

1. Sakinah – Apabila kepala seseorang serabut dan duduk dalam majlis zikir, ALLAH SWT hadiahkan ketenangan. Ia bukan disebabkan masalah sudah selesai, tetapi kerana hati kita telah dikuatkan.

2. Rahmat – Bukan hanya dalam bentuk ilmu, tetapi ia juga datang dalam bentuk peluang baharu, sahabat baharu dan bahkan penyelesaian masalah yang tidak disangka-sangka.

3. Malaikat – Dalam al-Quran, malaikat mendoakan kita: ‘Ampunkan dia, rahmatilah dia’. Bukan semua orang mendapat doa istimewa itu.

4. Disebut oleh ALLAH – Bayangkan nama kita yang penuh dosa ini disebut dalam ‘mesyuarat langit’ hanya kerana kita duduk dalam satu majlis al-Quran.

Benar, adakalanya kita mungkin rasa tidak layak untuk menjejakkan kaki ke majlis ilmu dan hanya sesuai untuk orang yang baik-baik sahaja.

BAYANGKAN nama kita yang penuh dosa ini disebut dalam ‘mesyuarat langit’ hanya kerana kita duduk dalam satu majlis al-Quran. -Foto: CANVA

BAYANGKAN nama kita yang penuh dosa ini disebut dalam ‘mesyuarat langit’ hanya kerana kita duduk dalam satu majlis al-Quran. -Foto: CANVA

Namun begitu, Ustaz Fazrul mengingatkan, acara sebegitu pada hakikatnya menjadi medan buat mereka yang sedang mencari jalan untuk kembali kepada-NYA.

ALLAH SWT berfirman: “Ketahuilah hanya dengan mengingati ALLAH, hati akan tenang.” (Surah ar-Ra’d: 28)

“Kita cari ketenangan ke sana sini, tetapi tenang yang sebenar bukan di luar. Ia datang bila hati kita vertikal, naik ke langit, bukan mendatar ke dunia,” ungkapnya.

Justeru beliau menitipkan pesanan supaya kita memenuhi undangan jika ada jemputan kuliah di surau atau sesi tadabbur al-Quran walaupun secara dalam talian.

“Jangan tolak. Sebaiknya, pergi, duduk, dengar, simpan dan amalkan sebab setiap kali kita hadir, langit akan ‘menyambut’ kita,” tulisnya.

Scroll to Top