Pelakon cantik Nina Iskandar kini melakar satu lagi pencapaian peribadi apabila secara rasmi melancarkan jenama kecantikan miliknya, SKANDARL Beauty di Malaysia.
Muncul sebagai simbol cinta diri dan kekuatan wanita, jenama itu hadir dengan produk sulung iaitu Serum Bibir Berwarna yang direka bukan sekadar untuk mencantikkan, tetapi juga merawat dan menyihatkan bibir secara semula jadi.
Sebagai wanita yang pernah melalui fasa keletihan, kehilangan arah dan bergelut antara tanggungjawab sebagai ibu, pekerja, dan individu biasa, Nina menzahirkan jenama ini.
Pelakon drama bersiri Andainya Takdir itu melihat jenama ini sebagai satu usaha peribadi untuk mengingatkan wanita bahawa mencintai diri tidak memerlukan isyarat yang besar kerana ia boleh bermula dengan sesuatu yang sekecil sapuan serum bibir setiap hari.
“Ia adalah hadiah kecil dari hati saya untuk semua wanita yang mungkin telah terlupa betapa indahnya diri mereka. Saya juga pernah berada di tempat itu.
“Saya berharap serum ini dapat menjadi satu langkah kecil untuk membantu kita rasa yakin kembali,” katanya.
Diperkaya dengan ramuan semula jadi seperti ekstrak botani, peptida kolagen, Vitamin E serta perlindungan SPF, Serum Bibir Berwarna ini bukan hanya menyerlahkan warna bibir tetapi juga melindungi, merawat dan menyegarkan wajah sepanjang hari.
Diformulasikan untuk semua golongan wanita tanpa mengira usia dan gaya hidup, serum ini sesuai untuk mereka yang berhadapan dengan masalah bibir kering, gelap atau kusam, malah ideal bagi individu yang tidak sempat bersolek penuh ataupun yang mengutamakan penampilan semula jadi dan sihat.
Serum ini boleh digunakan siang atau malam, menghasilkan warna semula jadi mengikut pH bibir sambil memberikan manfaat penjagaan menyeluruh yang menjadi sebuah inovasi menggabungkan kosmetik dan penjagaan kulit.
Majlis pelancaran SKANDARL yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini turut diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Yang Mulia Tuan Mohd Aizul Hakim Pehin Haji Suyoi, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia.
Kehadiran beliau cukup bermakna buat Nina dan seluruh pasukan SKANDARL, sebagai simbol sokongan dari tanah air serta pengiktirafan kepada pencapaian anak Brunei di rantau ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam kerana sudi hadir dan memberikan sokongan. Ia amat bermakna buat saya secara peribadi.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada para penaja dan semua pihak yang memberikan sokongan yang biasa. Kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini, saya amat menghargainya. Terima kasih dari lubuk hati saya,” luahnya penuh rasa syukur.